Dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (LTH) baru-baru ini, beberapa cadangan telah diusulkan bagi penambahbaikkan dan memastikan kelangsungan institusi ini dalam jangka masa panjang.

Menurut rumusan laporan itu, walaupun terdapat beberapa pihak memberi cadangan untuk mengubah model LTH yang sedia ada, seperti memecahkan LTH kepada entiti yang berasingan.

Namun Suruhanjaya berpendapat bahawa institusi LTH perlu dikekalkan sebagaimana sekarang. Manakala kelemahan-kelemahan yang berlaku boleh diperbaiki tanpa memerlukan perubahan besar kepada struktur sedia ada.

Daripada 252 muka surat laporan yang dikeluarkan, RCI merumuskan cadangan seperti berikut –

1. Pindaan perlu dibuat ke atas Akta 535, bagi menambahbaik tadbir urus dan kawal selia LTH dengan mewujudkan peruntukan undang-undang mengenai perkara-perkara berikut:

a. peruntukan yang menggariskan kriteria khusus yang perlu ada pada individu-individu yang layak dan boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai anggota Lembaga dan kaedah pemilihan anggota Lembaga;

b. peruntukan agar bidang-bidang kepakaran yang diperlukan bagi anggota-anggota Lembaga yang dilantik, dinyatakan secara khusus;

c. peruntukan khusus yang melarang ahli politik yang aktif daripada dilantik dan memegang jawatan sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga dan anak-anak syarikat;

d. peruntukan agar sebelum pembatalan pelantikan mana-mana anggota Lembaga, perlu dirujuk kepada jawatankuasa atau badan penasihat bebas yang dicadang untuk ditubuhkan;

e. peruntukan agar penamatan perkhidmatan mana-mana anggota Lembaga hendaklah diberi sebab yang munasabah sebelum perkhidmatan ditamatkan;

f. peruntukan berkaitan dengan penubuhan Jawatankuasa Urusan Haji, Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Panel Pelaburan hendaklah dikanunkan di bawah Akta 535. Peruntukan-peruntukan lazim seperti kuorum, perjalanan mesyuarat, undi pemutus Pengerusi, kekosongan jawatan, hilang kelayakan dan penzahiran kepentingan berkaitan dengan jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan hendaklah juga diperuntukkan dalam Akta 535;

g. peruntukan-peruntukan yang lebih jelas mengenai pengiraan agihan keuntungan (hibah). Dalam pindaan tersebut perlu dinyatakan pembayaran agihan keuntungan (hibah) hendaklah berpandukan kepada penyata kewangan tahunan yang telah diaudit berdasarkan piawaian perakaunan semasa yang ditetapkan MIA;

h. peruntukan-peruntukan berkaitan dengan penubuhan sebuah jabatan yang boleh dinamakan sebagai Dana Haji yang bertanggungjawab kepada pelaburan LTH yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; dan

i. pindaan kepada seksyen 26 Akta 535 dengan membuat pengecualian pemakaian Akta Badan Berkanun (Akuan dan Laporan Tahunan) 1980 [Akta 240] terhadap LTH.

2. Sementara itu, RCI turut mencadangkan penyusunan semula struktur tadbir LTH untuk memberi mandat kepada Menteri Hal Ehwal Agama bagi pengurusan haji, dan Menteri Kewangan bagi pengurusan kewangan, dana dan pelaburan.

3. Manakala pelantikan anggota Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif LTH dibuat oleh Perdana Menteri atas syor jawatankuasa atau badan penasihat bebas yang dicadangkan untuk ditubuhkan.

4. Pengehadan penglibatan anggota Lembaga dan pengurusan LTH dalam pengurusan anak-anak syarikat LTH. Ia bertujuan untuk memastikan mereka dapat memberi fokus kepada tanggungjawab di LTH dan sekaligus mengelak konflik kepentingan.

5. BNM tidak seharusnya mengawal selia LTH. Jika pengawalseliaan ini masih diperlukan, maka ia hendaklah dihadkan kepada kawalan rizab dan pengurusan kecairan.

Namun, RCI menyatakan pengawalseliaan di atas tidak harus tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759], Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758] dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 [Akta 618].

6. Pengauditan penyata kewangan LTH sewajarnya tidak lagi dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Audit Negara (JAN). LTH boleh melantik Firma Akauntan Swasta untuk membuat pengauditan penyata kewangan LTH.

7. Dalam menentukan kadar pengagihan keuntungan (hibah), LTH perlu berdasarkan kepada penyata kewangan tahunan yang telah diaudit, bukan Laporan Proforma. Realisable Asset Value (RAV) juga tidak boleh dijadikan asas oleh LTH bagi membuat pembayaran agihan keuntungan (hibah), sebaliknya hendaklah menggunakan nilai aset dan liabiliti seperti yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan LTH.

8. Laporan Penyata Kewangan LTH hendaklah mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan dan prinsip-prinsip seperti yang dirujuk dalam Akta 240. LTH juga perlu secara tepat mematuhi PA 3.1 Garis Panduan Untuk Penyediaan dan Pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan.

9. Amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan hendaklah dihentikan.

10. Usaha perlu dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberi kepada ahli Lembaga dan Pengurusan TH Properties, memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

11. RCI mencadangkan supaya audit forensik dilaksanakan untuk meneliti bagaimana keputusan 14 pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan LTH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk:

a. PT TH Indo Plantations (THIP);

b. Emrail Sdn. Bhd.;

c. Wellspring Worldwide Limited;

d. Deru Semangat Sdn. Bhd. (DSSB);

e. Trurich Resources Sdn. Bhd. (Trurich);

f. Abraj Sdn. Bhd. (Abraj);

g. Putrajaya Perdana Berhad;

h. Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd. (Al-Rawda);

i. Alfareeda Residential Fund (Al-Fareeda);

j. TH Plantations Berhad (THP);

k. TH Properties Sdn. Bhd. (TH Properties);

l. Alam Maritim Resources/ TH Marine;

m. TH Hotel & Residences Sdn. Bhd. (THHR); dan

n. FGV Berhad (FGV).

12. Pihak-pihak berkuasa wajib mengambil tindakan yang tegas dan segera ke atas setiap laporan polis atau aduan yang dibuat berkaitan dengan sebarang salah laku di LTH

13. Proses penyempurnaan tindakan tatatertib di LTH ini yang meliputi durasi penahanan kerja perlukah diperkemas dan disegerakan agar proses ini dilihat dan diyakini sebagai suatu proses yang berkesan, cekap, adil dan telus.

14. Transaksi-transaksi pelaburan yang masih dalam pertikaian di mahkamah atau di prosiding timbang tara perlu dipantau secara dekat oleh Pengurusan dan Lembaga. Ia bagi memastikan semua proses berjalan dengan lancar dan menghasilkan keputusan yang terbaik kepada LTH. Penyelesaian di luar proses mahkamah dan timbang tara harus dipertingkatkan agar pertikaian dapat diselesaikan dengan segera tanpa merencatkan kepentingan LTH.

15. LTH wajar memberi perhatian serius bagi memastikan bayaran zakat dilaksanakan dengan sempurna sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama. Memandangkan telah berlaku perubahan akad simpanan, adalah wajar LTH mengemukakan perkara ini kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Muzakarah MKI) untuk dibincang dan diputuskan pandangan hukum berkaitan pembayaran zakat.

16. Kerajaan hendaklah mengambil perhatian serius mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH 2018 bagi memastikan pelan ini berjaya mencapai matlamatnya. Instrumen Sukuk boleh ditambah baik sekiranya mempunyai jaminan Kerajaan.

17. Penstrukturan Sukuk yang dicadangkan untuk diterbitkan semula perlulah mempunyai ciri-ciri boleh diniagakan (tradeable). Ciri-ciri yang boleh diniagakan ini dapat memberi fleksibiliti kepada LTH dalam mengurus komponen aset-aset yang dipegang terutamanya bagi mengoptimumkan pendapatan LTH.

18. Penerbitan Sukuk tersebut tidak hanya ditawarkan kepada LTH atau Kerajaan tetapi juga boleh ditawarkan kepada institusi-institusi kewangan yang lain.

19. Kerajaan hendaklah memberi perhatian yang serius dengan memastikan peruntukan sebanyak RM1.73 bilion setahun dibuat seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri bagi tujuan penebusan awal Sukuk-sukuk UJSB.

20. Suruhanjaya menggalakkan UJSB membuat penebusan awal Sukuk hasil daripada pelupusan aset-aset yang telah dipindahkan dari LTH kepada UJSB.

21. RCI mencadangkan LTH membuat perubahan dasar bagi deposit, bayaran haji dan HAFIS seperti berikut:

a. deposit minimum untuk pendeposit layak diberi giliran menunaikan haji secara automatik (bagi haji kali pertama) dinaikkan daripada RM1,300 kepada kos yang dikenakan kepada jemaah haji Muassasah semasa (sekarang ini berjumlah RM12,980);

b. jumlah pengeluaran deposit yang besar dihadkan dan pendeposit perlu memberi notis pengeluaran selama sebulan sebelum pengeluaran tersebut dibuat; dan

c. sebarang bentuk bantuan haji ataupun subsidi hanya diberikan kepada jemaah yang memerlukan sahaja.

22. LTH perlu merancang agar ia mampu membawa lebih ramai jemaah haji pada masa hadapan dan menggunakan sepenuhnya kuota tambahan yang ditawarkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

23. LTH perlu menaikkan minimum bayaran pendaftaran haji Muassasah daripada RM1,300 kepada bayaran semasa, iaitu RM12,980. Ini bukan sahaja akan menambah jumlah deposit LTH malah akan mengurangkan tempoh menunggu giliran haji daripada 130 tahun kepada 33 tahun.

24. Fungsi pelaburan LTH yang meliputi pengurusan pelaburan dan agihan keuntungan hendaklah dijalankan dengan bebas dan profesional. Kedua-dua fungsi, iaitu pengurusan dana dan pengurusan haji perlu berada dalam entiti yang sama kerana terdapat unsur-unsur subsidi silang (cross subsidy) seperti yang diamalkan sekarang. Fungsi pengurusan pelaburan dikekalkan dalam LTH, sebagai sebuah jabatan yang boleh dinamakan sebagai Dana Haji. Dana Haji akan bertanggungjawab kepada pelaburan LTH dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

25. LTH hendaklah memfokuskan kepada portfoliio pengurusan dana. LTH tidak seharusnya terlibat dengan pelaburan berisiko tinggi khususnya pelaburan-pelaburan yang diklasifikasikan sebagai strategik oleh LTH.

26. Kerajaan hendaklah mengambil langkah penambahbaikan secara menyeluruh dalam usaha memperkukuh model perniagaan dan pelaburan LTH termasuk memperkasa tadbir urus melalui pengurusan profesional tanpa campur tangan politik.

RCI Harap Kerajaan Dan Lembaga Tabung Haji Beri Perhatian Serius

RCI berharap Kerajaan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji perlu memberi perhatian yang serius terhadap penambahbaikan yang dicadangkan bagi memastikan pengurusan LTH terus cemerlang.

“Urus tadbir yang cekap, berkredibiliti dan berintegriti akan dapat menarik lebih ramai pendeposit untuk menyimpan di LTH. Ia juga dengan sendirinya akan meningkatkan dana LTH sekaligus membolehkan objektif utama LTH untuk menyediakan khidmat pengurusan haji yang terbaik kepada semua jemaah dapat dicapai. Dengan ini, LTH akan terus kekal unggul di negara kita Malaysia dan di persada antarabangsa,” katanya.

Akhir sekali, RCI berharap Kerajaan akan menimbang supaya laporan Suruhanjaya ini diumumkan kepada awam mengikut mana-mana bahagian yang bersesuaian.