Pembangun aplikasi TuJu menanggung kos caj navigasi mencecah RM300,000 dalam tempoh sehari selepas jumlah muat turun aplikasi berkenaan melonjak melebihi satu juta, sekali gus menyebabkan sistemnya mengalami gangguan operasi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan di Dewan Rakyat pada Isnin bahawa lonjakan mendadak itu berlaku susulan sekatan penggunaan aplikasi Waze bagi urusan rasmi penjawat awam, yang mendorong kos perkhidmatan navigasi pihak ketiga melepasi had langganan sehingga menjejaskan fungsi navigasi aplikasi tersebut, petik The Edge Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat jawatankuasa.
Menurut Ahmad Maslan, jumlah muat turun meningkat daripada kira-kira 200,000 kepada 800,000 sebelum melepasi angka satu juta dalam tempoh beberapa hari, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan penggunaan TuJu sebagai alternatif tempatan kepada Waze.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti penyedia perkhidmatan navigasi berkenaan mahupun memperincikan kaedah pengiraan caj tersebut.
“Bermula 6 November 2026, TuJu beroperasi menggunakan fungsi navigasi yang dipautkan terus kepada Google Maps sebagai langkah alternatif bagi mengoptimumkan kos operasi sistem,” katanya menjawab pertanyaan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan termasuk Ganabatirau Veraman (PH-Klang), Cha Kee Chin (PH-Rasah) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan menegaskan bahawa TuJu pada asalnya dibangunkan bagi menyalurkan maklumat masa nyata berkaitan lebuh raya bertol, manakala fungsi navigasi diperkenalkan sebagai perkhidmatan tambahan semasa pelancaran rasminya pada 26 November 2025.
Aplikasi itu dibangunkan oleh Prosignal Consortium Sdn Bhd menerusi perjanjian usaha sama yang dimeterai bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 20 Januari 2023.
“Tiada dana awam digunakan bagi pembangunan aplikasi TuJu,” tegas beliau sambil menambah bahawa pihak kerajaan mahupun LLM tidak menyalurkan sebarang peruntukan kewangan, sebaliknya keseluruhan kos pembangunan, operasi dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh Prosignal.
Berdasarkan rekod kewangan syarikat itu, Prosignal tidak mencatatkan sebarang hasil sejak penubuhannya sehingga akhir tahun 2025 dengan kerugian terkumpul berjumlah RM919,972, selain merekodkan kos pembangunan perisian TuJu yang dipermodalkan sebanyak RM533,034 bagi tempoh yang sama.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata LLM dan Prosignal telah melaksanakan langkah pemulihan serta penambahbaikan susulan gangguan berkenaan, termasuk mengadakan penyelarasan bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Kementerian Digital, Jabatan Digital Negara serta GovTech Malaysia bagi memperkukuh keupayaan sistem.