Sebelum ini netizen mempertikaikan satu resit tertulis ‘Tikar’ dengan caj bayaran RM5 apabila meletakkan tikar dan duduk di kawasan kaki lima di sekitar kawasan Pantai Teluk Kemang baru-baru ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Mohd Zamri Mohd Esa menjelaskan resit bayaran RM5 di Pantai Teluk Kemang itu adalah untuk plastik sampah bukannya seperti yang didakwa dipercayai oleh pengunjung pantai berkenaan.

Baca Juga:

“Pihak kami sememangnya ada melantik operator di Wellness Zone, Pantai 1, Teluk Kemang untuk memantau kawasan itu setiap hari terutama hujung minggu.

“Saya difahamkan resit yang ditunjukkan itu adalah palsu dan berharap agar pengunjung faham kenapa bayaran itu dikenakan dan bukan kerana bentang tikar.

“Penguatkuasaan MPPD akan terus memantau seluruh kawasan pantai terutamanya hujung minggu atau cuti umum bagi kemudahan pengunjung yang datang beriadah di sini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut beliau lagi, pihak Wellness Zone ada menyediakan plastik sampah dan bukan untuk pengenaan sewa wakaf seperti yang ditularkan. Bilangan pengunjung yang terlalu ramai dan kerana kekurangan tong sampah menyebabkan pengunjung membuang sampah merata-rata.

Inisiatif yang diperkenalkan itu adalah sebagai pilihan kerana sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung adalah terlalu banyak.

“Ia antara cara bagi mengatasi masalah sampah yang ditinggalkan pengunjung dan akan menjadi lebih buruk jika terdapat anjing liar yang mengotori kawasan itu.

“Kutipan itu juga digunakan untuk menambah baik kemudahan fasiliti, infrastruktur dan landskap di kawasan berkenaan bagi menjaga kebersihan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

Sumber