Seorang wanita yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditahan polis selepas disyaki menolak seorang warga emas sehingga terjatuh ke dalam longkang di Taman OUG, Kuala Lumpur.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat lalu di Jalan Hujan Rahmat Dua.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, mangsa berusia 79 tahun dan merupakan bekas pemain hoki Selangor pada era 1960-an.

Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu pergi ke sebuah kedai jahit milik rakannya selepas mendakwa dirinya diekori suspek.

Beberapa minit selepas mangsa keluar dari premis tersebut, suspek yang berada di luar kedai dipercayai secara tiba-tiba menolaknya sehingga terjatuh ke dalam longkang.

Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, tangan kiri dan belakang badan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa kemudian ditempatkan di wad kecemasan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang pada 21 September lalu.

Suspek berusia 59 tahun dan merupakan seorang pesara. Dia ditahan polis di OUG dan pakaian yang dipercayai dipakai ketika kejadian turut dirampas untuk siasatan.

Bagaimanapun, suspek menafikan menolak mangsa ketika disoal siasat dan tidak memberikan alasan berhubung kejadian. Polis turut memaklumkan suspek mendakwa tidak mengenali mangsa secara peribadi.

Suspek direman selama sehari sebelum Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan wanita terbabit menjalani pemeriksaan dan rawatan psikiatri bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah.

Polis masih menunggu laporan lengkap pakar perubatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung pertuduhan.