Nota Editor: Tips ini asalnya telah dikongsikan di laman web JuniorAulad.com. Oleh kerana tips ini sangat mudah dan praktikal kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis asal. Harapan kami agar ia dapat dijadikan panduan untuk ibu bapa yang ingin menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri anak seawal dari kecil.
Awaludin Makrifatullah
Permulaan agama, adalah mengenal Allah. Sebagai ibu bapa muslim, kita seharusnya menanam konsep adanya Tuhan Yang Esa dalam diri anak-anak. Tuhan itu namanya Allah.
Soalannya, bagaimana ingin perkenalkan Allah kepada anak-anak?
Tak perlulah kita berfalsafah panjang, berdalil itu ini dengan anak-anak kecil. Itu terlalu berat dan sukar bagi mereka.
Mulakan dengan perkara-perkara mudah sahaja seperti ini :
1. Tunjukkan kegembiraan kita apabila masuk waktu solat
2. Solat berjemaah. Terangkan bahawa kita solat untuk mengingati Allah. Kenapa perlu ingat kepada Allah? Kerana Allah sayang pada kita. Buktinya Allah bagi sihat, Allah bagi kenyang, Allah bagi ibu dan ayah untuk anak kita.
3. Perdengarkan doa kepada anak-anak, seeloknya doalah dalam bahasa yang difahami. Jelaskan kepada mereka, kita berdoa kepada Allah kerana Allah itu hebat, sedangkan kita manusia lemah.
4. Ajar anak berdoa. Misalnya jika mereka mahu dibelikan permainan, ajar mereka berdoa supaya Allah berikan rezeki kepada ibu dan ayah, agar hajat mereka tadi tercapai.
5. Ungkapkan terima kasih atau Alhamdulillah di hadapan anak-anak apabila kita memperoleh rezeki dan nikmatNya. Terangkan bahawa ia adalah pemberian dari Allah.
7. Ajarlah anak-anak doa-doa ringkas seperti doa makan. Kaitkan bahawa Allahlah yang memberi kita rezeki.
8. Bawa anak-anak bersiar-siar. Apabila melihat awan, ucaplah subhanallah. Terangkan hebatnya Allah menciptakan awan tanpa tiang.