Nota Editor: Kisah ini asalnya telah ditulis oleh Saudara Li Ipoh sebagai catatan penghargaan buat ibunya. Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis. Semoga kisah ini turut membawa kebaikan buat anda. Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu yang membaca catatan ini.
Kembali Ke Pangkuan Bonda
Selalunya jarak dan masa itu mampu membuatkan kita terfikir untuk mensyukuri apa yang kita kadang-kadang terlupa menghargai. Jujur aku bukan sebaik-baik anak. Beberapa kali juga aku tak sengaja buat emak menitis air mata dengan sikap aku. Mungkin kerana jiwa remaja aku yang memberontak masa itu.
Habis sahaja persekolahan aku dah minta izin emak nak merantau tapi emak tak benarkan. Sebetulnya aku nak lari dari kongkongan emak. Apa sahaja aku nak buat mesti ada halangannya. Aku tak boleh menunggang kereta motorsikal sesuka hati aku macam remaja lain masa itu apa lagi nak berjalan jauh seorang diri. Masa itu aku fikir emak nak bunuh jiwa kembara anak lelakinya sendiri.
Hanya bila umur 23 apabila aku mendapat pekerjaan tetap barulah emak lepaskan aku hidup merantau ke negeri lain. Senangnya hati aku waktu itu lari dari bebelan dan leterannya. Aku mula berdikari. Tak ada lagi makanan yang siap tersedia atas meja. Semuanya perlu aku buat sendiri.
Ditakdirkan beberapa tahun di rantauan aku sendirian di rumah sewa. Segala hiburan di bandaraya itu masih tak boleh isi kekosongan jiwa aku. Sampai boleh kata setiap hujung minggu aku sedar dari lena termimpi- mimpi bebelan mak aku. Baru aku sedar dahsyatnya rindu aku kepada emak. Macam mana benda yang aku benci dulu boleh jadi satu yang sangat aku harapkan kembali.
Diizinkan Allah setelah lama berkerja di Klang aku dapat bertukar tempat kerja kembali ke Ipoh. Kawalan emak pada aku pun dah berbeza tidak seketat dulu. Malah emak pula yang menggalakkan aku mengembara. Katanya selagi aku belum ada komitmen kepada keluarga sendiri berjalanlah melihat dunia ini sepuas-puasnya.
Setiap kali aku pulang dari mengembara kepada emak lah aku bercerita pengalaman yang aku kutip sepanjang kembara itu. Malah kebanyakan destinasi tujuan aku sebenarnya dari cadangan emak. Dan emak akan mendengar dengan penuh minat cerita anak sulungnya ini.
Ada hikmahnya juga emak lepaskan aku ketika usia aku sudah agak dewasa. Aku sudah ada sedikit kematangan pertimbangan untuk menentukan baik dan buruk sesuatu keputusan. Mungkin jika aku ‘bebas’ awal ketika remaja dulu aku akan buat sesuatu yang merosakkan diri aku sendiri.
Dan semasa berpisah untuk berjalan jauh malah ketika nak berkerja setiap hari juga aku ada kesempatan menunjukkan sayang kepada orang tua aku. Dah terbiasa sejak sekolah kami adik-beradik akan cium tangan dan pipi emak dan abah sebelum berpisah. Memang ada orang yang kehairanan dengan rutin kami itu. Walaupun sebenarnya di waktu lain ego lelaki aku masih membataskan aku melakukan ritual cinta itu.
Bila di negara orang contohnya di India dulu ada masanya aku pernah juga terfikir kalaulah aku boleh terus tinggal di sana. Sebab dah selalu tergoda melihat gadis Hindustan bermata biru.
Tapi ketika melihat sambutan Holi oleh ibu-ibu tunggal di Vrindavan aku segera teringatkan emak. Dalam keriangan ibu-ibu tunggal ini menari ada kesayuan di mata mereka.
Aku bersyukur aku masih ada seorang ibu yang aku masih boleh berjasa kepadanya. Aku terkenang macam mana berbisa pun bebelan emak tapi dia tetap melaksanakan tanggunjawab kasih sayangnya pada kami anak-anaknya tanpa lelah.
Selalunya kembara sejauh mana pun aku pergi. Sepuas mana pun aku nikmati pengalaman di perjalanan. Sehebat mana pun godaan di rantauan. Aku tetap ingin pulang.
Kerana ada seorang wanita berusia yang setia menunggu aku di rumah. Aku ingin kembali duduk di meja makan sambil bercerita kepadanya. Kembali ke pangkuan bonda…