Rangkaian kafe terkemuka, The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) Malaysia, hari ini melancarkan promosi khas sehari bagi meraikan pencapaian cemerlang para pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia sempena keputusan peperiksaan tahun 2026.

Menerusi satu hantaran di platform media sosial rasminya, inisiatif berkenaan diperkenalkan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih serta dedikasi para pelajar sepanjang musim peperiksaan.

Pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya satu gred A layak menerima diskaun 20 peratus bagi keseluruhan bil makanan dan minuman.

Sementara itu, ganjaran lebih istimewa ditawarkan kepada pelajar yang meraih keputusan cemerlang semua A (Straight As), di mana mereka bersama ibu bapa serta adik-beradik masing-masing berpeluang menikmati sepotong kek atau pastri beserta minuman secara percuma.

 

View on Threads

 

Tawaran eksklusif ini berlangsung hanya pada hari ini, Selasa, 10 November 2026, di semua cawangan CBTL di Semenanjung Malaysia.

Pihak pengurusan menetapkan beberapa syarat kelayakan asas, antaranya:

Terbuka kepada pelajar semua peringkat umur yang memiliki kad pengenalan Malaysia.

Hanya sah untuk slip keputusan peperiksaan bagi tahun 2026.

Pelajar diwajibkan mengemukakan slip keputusan peperiksaan fizikal yang asal bagi tujuan pengesahan di kaunter.

Pihak CBTL turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan menekankan bahawa setiap usaha wajar diraikan, di samping menyuntik semangat agar mereka terus bersemangat menimba ilmu pada masa hadapan.