Tular baru-baru ini apabila seorang pereka meluahkan rasa terkilan beliau kepada sebuah syarikat besar yang menciplak idea beliau.

Dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook, Diana Chew Ee Chiezt, pereka ruang pameran mendakwa bahawa idea reka bentuk ruang pameran beliau disalin 95% oleh syarikat Cenergi SEA Berhad.

Tindakan tidak beretika anak syarikat Khazanah Nasional ini difahamkan bermula apabila Diana dan pasukannya membentangkan idea reka bentuk mereka selepas “menyedari pelanggan tidak tahu mengenai bajet serta konsep yang mereka mahu, jadi kami berkongsi beberapa idea bersama mereka untuk memendekkan masa meneka.”

https://twitter.com/ernamh/status/1564836548901687296

Selepas pertemuan pertama, pihak Cenergi difahamkan suka dengan reka bentuk yang dibentangkan. Namun apabila masuk bahagian rundingan harga, terdapat kekangan sehingga mereka tidak dapat mengambil kerja tersebut.

“Tetapi selepas seminggu kemudian, kami mendapati bahawa pelanggan [Cenergi] mengambil reka bentuk kami dan meminta vendor lain untuk menyalin [reka bentuk kami].

“Bagaimana kita tahu mereka meniru?

“Apabila kami membandingkan reka bentuk, persamaannya adalah 95%, kerana dimensi, warna malah pemetaan poster adalah sama seperti kami [bentangkan].”

Diana mendakwa bahawa dia ada menghubungi pihak Cenergi, namun mereka menafikan dakwaan tersebut. Diana tetap berkeras dengan dakwaan beliau bahawa Cenergi menyalin reka bentuk beliau selepas rundingan dijalankan.

“Jika tidak, bagaimana reka bentuknya begitu sama? Saya beritahu mereka dari pengalaman bertahun-tahun saya dalam reka bentuk, kami boleh buktikan yang mereka menyalin dan reka bentuk mereka dibina selepas rundingan harga.

“Jadi mereka bertanya kepada saya apa yang saya mahu, saya beritahu mereka sama ada anda bayar hak reka bentuk atau anda boleh menukar reka bentuk.

“Dia [Cenergi] berkata mereka akan menyemak dengan pasukan undang-undang  dan memberitahu saya. Namun, apabila saya membuat panggilan susulan kepada mereka, mereka tidak membalas,” katanya.

Diana turut turun ke ruang pameran untuk melihat adakah pihak Cenergi ada menukar reka bentuk seperti yang diminta, namun mendapati bahawa pihak Cenergi masih menggunakan reka bentuk ruang pameran dengan sedikit perubahan.

“Rakan saya memberitahu bahawa tiada apa yang boleh saya lakukan, kerana Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang boleh melindungi kerja reka bentuk kreatif.

“Dan kita terlalu kecil, dan ia akan menjadi terlalu menyusahkan dan terlalu mahal untuk menyaman syarikat besar.

“Saya tidak boleh menyaman tetapi saya boleh mendedahkan mereka bukan?

“Saya amat kesal kerana pasukan saya bekerja keras untuk mencipta reka bentuk yang baik dengan harapan dapat membantu pelanggan menonjol dalam pameran tetapi akhirnya hasil kerja keras mereka dirampas.

“Cenergi & Brainstormconcept kamu berdua memalukan!” Katanya.

Sejak laporan ini ditulis, pihak Cenergi masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Cubaan The Vocket untuk mendapatkan maklum balas daripada anak syarikat Khazanah Nasional ini juga gagal.

‘Student buat research, uni dapat nama’ – Universiti Malaya dituduh curi kajian pelajar PhD. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

‘Student Buat Research, Uni Dapat Nama’ – Universiti Malaya Dituduh Curi Kajian Pelajar PhD

‘Ejaan Sahaja Berbeza’- Nama Perniagaan Sharifah Rose Didakwa Ciplak Jenama Tempatan?

Dakwa Konsep Tudung Diciplak Jenama Terkenal, Netizen Simpati Lihat Pemuda Ini Menangis