Ramai orang membayangkan jawatan ketua eksekutif syarikat atau CEO ini penuh dengan glamour dan boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahukan di syarikat. Hakikatnya deskripsi kerja seorang CEO adalah berat dengan tanggungjawab dalam memenuhi keperluan kakitangan, pelanggan, pelabur, masyarakat, dan undang-undang.

Ramai juga membayangkan orang yang menggalas tugas CEO ini terdiri daripada pengasas atau pewaris syarikat. Hakikatnya CEO juga boleh dilantik di kalangan bukan ahli keluarga asalkan orang itu mempunyai kualiti sebagai seorang CEO iaitu kredibiliti, kecekapan, dan prihatin.

Tahukah anda pada satu ketika dulu, ada seorang pengasas sebuah laman web yang masyhur di Malaysia ini telah mewar-warkan pencarian CEO bagi syarikatnya di laman media sosial sejurus selepas beliau graduasi pada tahun 2011?

Berita itu telah menggerakkan hati seorang anak muda untuk menyahut tawaran tersebut dengan menawarkan diri untuk menyertai pengasas membangunkan syarikat dengan menggalas tanggungjawab sebagai seorang CEO.

Pemuda itu berminat dengan tawaran tersebut bukanlah kerana mahu glamour atau mahu berbangga dengan gelaran CEO. Beliau berminat kerana tahu akan potensi laman web pengasas tersebut selepas terjadi satu kejadian yang beliau tidak jangkakan akan berlaku sebelum itu.

Pengasas laman web yang juga seorang penulis pernah menerbitkan artikel tentang aplikasi Flash Lite yang dihasilkan oleh syarikat pemuda itu. Kesan artikel itu telah menyebabkan server syarikat pemuda itu kehabisan bandwidth untuk bulan tersebut sedangkan ia baru awal bulan. Sejak kejadian itu, beliau mula menyedari akan potensi laman web tersebut.

Adakah anda tahu tentang kisah yang disebutkan di atas ini? Siapakah pengasas dan pemuda itu?

Pengasas itu adalah Tuan Aman Firdaus Abul Hassan, pengasas Amanz.my dan pemuda itu adalah Tuan Ikhwan Nazri Mohd Asran, CEO Amanz.my sejak 2011 sehingga kini.

Potensi Amanz.my Menarik Perhatian Bakal CEO

“Pada satu hari sekitar tahun 2008, Aman Firdaus iaitu pengasas Amanz, telah menulis berkenaan aplikasi Flash Lite kami iaitu TGV Mobile yang dihasilkan tanpa kebenaran rasmi namun telah dimuat-turun pada beribu-ribu telefon yang menyokong Flash Lite sehingga server Flavert telah kehabisan bandwidth untuk bulan tersebut, walhal bulan tersebut baru bermula. Disitu saya mula sedar akan potensi laman Amanz sehingga apabila beliau (Aman) grad pada tahun 2011 dan mencari CEO, dan saya menawarkan diri menyertainya.” – Tuan Ikhwan Nazri.

Menurut Tuan Ikhwan Nazri, pada waktu itu beliau nampak kepentingan Amanz.my menjadi sebuah laman web yang fokus kepada niche teknologi maklumat kerana ia akan memberi manfaat terutama kepada startup tempatan melalui pendedahan-pendedahan yang ditulis di Amanz.my.

Pada 2 Mei 2011, Tuan Aman Firdaus telah mengumumkan penyertaan Tuan Ikhwan Nazri sebagai CEO pertama Amanz Network (kini dikenali sebagai Amanz Media Sdn. Bhd.) di laman web Amanz.my. Turut dinyatakan pengalaman dan latar belakang Tuan Ikhwan telah menjadi faktor utama beliau dipilih oleh Tuan Aman bagi membawakan Amanz ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengalaman Dan Latar Belakang Jadi Faktor Utama Pemilihan CEO

Sebelum menyertai Amanz, Tuan Ikhwan banyak melakukan projek-projek yang menarik berkaitan Adobe Flash dan media baru. Antaranya adalah menyediakan perkhidmatan Flash melalui syarikat Flavert yang dibangunkan bersama rakan sebiliknya semasa di pusat pengajian, membina direktori Officekami, kad kahwin interaktif melalui Weddingkami dan menjayakan projek komuniti Al-Quran untuk PSP yang mendapat perhatian pengguna PSP seluruh dunia.

“Jika dikira dari jatuh bangun, boleh dikatakan banyak. Saya sebelum ini pernah menjalankan bisnes perkhidmatan. Di bawah jenama Flavert, saya dan rakan sebilik yang juga lebih pandai dalam programming mengasaskan syarikat tersebut yang memfokuskan untuk pembangunan aplikasi dan teknologi berasaskan Adobe Flash yang semakin kurang relevan ditelan zaman. Jika diikutkan pada tahun 2005-2009 merupakan kemuncak teknologi tersebut. Kami bertanggungjawab untuk mencipta Flash Games, Flash Lite Application dan ini adalah aplikasi sebelum zaman Android dan iOS, Flash Montage, Flash Animation, Flash Courseware. Pendek kata, asal nama Flash, kami ‘tapau’. Tetapi jodoh bisnes ini tidak lama kerana ia servicing, dan teknologi Flash makin jatuh sejak kehadiran Android dan iOS.” – Tuan Ikhwan Nazri.

Tambah Nilai Diri

Sebagai seorang yang tidak mempunyai latar belakang dalam perniagaan (merujuk kepada tidak pernah mengambil kelas berkenaan bisnes), beliau banyak belajar dari cara tidak formal terutamanya dengan mendengar radio BFM, membaca pelbagai blogpost berkaitan, dan juga berkenalan dengan orang lain yang lebih arif dalam perniagaan.

Lagi satu cara beliau menambah nilai diri adalah dengan menyertai acara-acara berkaitan bidang yang diceburi. Pada tahun 2008 dan seterusnya, banyak acara diadakan di dalam bidang teknologi. Antaranya adalah Barcamp, Startupcamp, Hackweekend. Di acara seperti itu ramai peserta berkongsi ilmu tanpa segan silu dan ini membantu mengembangkan networking apabila berpeluang mengenali mereka yang sealiran di acara sebegitu.

Tugas Dan Budaya Kerja

Antara tugas-tugas CEO Amanz Media ialah:

1. Merangka strategi konten
2. Merekrut editor
3. Merangka strategi penjenamaan
4. Menguruskan perniagaan
5. Mengembangkan peluang perniagaan

Cabaran yang telah dihadapi oleh Tuan Ikhwan sepanjang membangunkan Amanz adalah berlainan sekali dengan pengalaman-pengalamannya sebelum ini. Ini kerana mengendalikan media bukan sesuatu perkara yang mudah dan banyak pengorbanan perlu dilakukan. Antaranya adalah kekangan masa bersama keluarga kerana sebagai media, tanggungjawab utama adalah membawakan berita kepada pembaca. Tambahan pula, laman web Amanz.my ini dikategorikan sebagai portal berita teknologi. Maka, konten yang diterbitkan mestilah terkini dan segar.

Selain itu sebelum jenama Amanz dikenali ramai, banyak usaha dilakukan bagi menarik minat pelbagai pihak untuk menjalinkan kerjasama bersama Amanz. Ini kerana bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan sesuatu pihak terutama bagi sebuah syarikat yang belum mempunyai latar belakang perniagaan yang kukuh. Kepercayaan diperolehi berkat usaha kumpulan Amanz dalam penghasilan konten-konten yang berkualiti. Syarikat-syarikat besar seperti Google, Youtube dan sebagainya mula tertarik dengan Amanz apabila ulasan-ulasan Amanz tentang produk dan perkhidmatan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Kredit: Hype.my
Kredit: Hype.my

 

Budaya kerja di Amanz juga sedikit berbeza dengan budaya kerja di syarikat-syarikat yang pernah beliau sertai sebelum ini. Tetapi beliau cepat adaptasi dan bernasib baik kerana melakukan kerja yang sama dengan minat dan bidang yang dipelajari semasa di universiti dulu. Tuan Ikhwan merupakan bekas pelajar jurusan Kreatif Multimedia dalam pengkhususan utama Media Digital di Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Definisi Kejayaan Amanz

“… kami semua define kejayaan Amanz itu apabila orang lain dapat mengetahui teknologi dan juga rapat dengannya. Malah beberapa hari selepas menjadi bos, ada orang tanya pasal nak beli iPad untuk neneknya dan nak install al-Quran, jadi minta nasihat. Selepas saya bagi feedback, dia hantar gambar nenek dia. Memang masa tu saya terharu sangat. Rasa ‘hidup’. Rasa hati ni tergerak pada kelajuan cahaya. It was a moving scene.” – Tuan Ikhwan Nazri.

Kredit: Facebook Amanz Network
Kredit: Facebook Amanz Network

 

Nasihat Buat Mereka Yang Mahu Menjadi CEO Syarikat

Sebahagian daripada kerja Ketua Pegawai Eksekutif boleh diwakilkan. Tetapi beberapa elemen kerja mesti dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif.

“Kalau mahu jadi CEO, dia bukan setakat chief executive. Malah chief everything (ketua dalam segala aspek). Kena adapt dengan situation. Kalau nak jadi CEO syarikat itu, mungkin untuk senarai semak diri sendiri, tanya diri sendiri jika diri boleh buat kerja asas/kerja terpenting bagi syarikat.

Macam dalam Amanz, kerja terpenting adalah menyampaikan berita teknologi kepada pembaca. Jadi saya juga ada buat field work. Walaupun tidak kerap (melakukannya), namun saya tahu dan boleh mengajar perkara tersebut kepada orang lain. Secara peribadi saya lagi appreciate kalau mula dari bawah.” – Tuan Ikhwan Nazri.

Beliau turut menyatakan kesabaran dan semangat juang yang tinggi diperlukan dalam apa jua bidang. Ini kerana tanpa kesabaran sudah tentu kita cepat mengalah apabila datang cabaran yang sukar. Manakala semangat juang pula mempengaruhi keazaman diri dan menjadi kompas penentu arah dalam keputusan yang dilakukan.

Peluang Menyertai Vocket Talk 3 Anjuran Vocket 2015

Sebelum mengakhiri artikel ini, kami mahu mewar-warkan bahawa Tuan Ikhwan Nazri, CEO Amanz.my akan menjadi salah seorang panel utama bagi Vocket Talk KL Kali Ke-3 bersama empat orang lagi panel yang telah membangunkan bisnes masing-masing sehingga berjaya iaitu The Lorry, CalaQisya, Elle Zada, dan Bella Ammara.

Tuan Puan boleh menambah nilai diri dengan mendaftar sekarang di http://vckt.co/vockettalk3.

 

Kenali Amanz.my

Amanz.my umpama TechCrunch versi Malaysia yang membawakan konten terkini dunia teknologi maklumat terutama berkenaan gajet, perisian dan produk-produk baru pengkomputeran dari dalam dan luar negara. Amanz.my yang dimiliki oleh Amanz Media Sdn. Bhd. ini merupakan pelopor pemasaran digital bagi pasaran Melayu di dalam niche teknologi dan gajet di Malaysia sejak ia diasaskan oleh Aman Firdaus Abul Hassan pada tahun 2005.

Daya tarikan utama Amanz.my adalah penyampaian maklumat dilakukan di dalam Bahasa Melayu yang mudah difahami walaupun pembaca itu bukan seorang computer geek. Maka, ia bukan sekadar dibaca oleh orang Malaysia tetapi turut menjadi pilihan pembaca-pembaca bahasa Melayu dari Singapura, Indonesia dan Brunei. Amanz Media ini dikuasakan oleh sekumpulan anak muda yang gigih menaikkan Amanz.my sehingga dikenali oleh pemain industri teknologi maklumat seperti Google Malaysia, Microsoft dan syarikat-syarikat telekomunikasi.

Inilah kumpulan penggerak Amanz Media:

update amanz
Kredit: Amanz.MY

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram