Seorang lelaki mabuk ditahan selepas cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di pintu pagar Balai Polis Dato’ Keramat di sini, awal pagi tadi.

Memetik laporan Harian Metro, suspek berusia 35 tahun berkenaan dikatakan menunggang motosikal, menghampiri anggota yang sedang menjalankan tugas di balai berkenaan pada jam 4 pagi sebelum meminta membuka pintu pagar.

Baca Juga:

Suspek kemudian mengeluarkan kata-kata kesat dan menceroboh masuk perkarangan balai selepas disoal oleh anggota tujuannya datang ke lokasi kejadian.

Kemudian, suspek cuba merampas submesingan HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun gagal.

Petik laporan itu lagi,  anggota berkenaan cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran supaya tidak mengulangi tindakannya, tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota terbabit.

Anggota berkenaan dan rakan setugas berjaya menghalang dan menahan suspek terbabit.

Suspek ketika ini berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami kecederaan pada muka dan tangan susulan bergelut ketika anggota melakukan tangkapan.

Difahamkan suspek yang didapati negatif dadah telah direman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Terdahulu, dua anggota maut dalam satu serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Manakala suspek serangan telah ditembak mati di lokasi kejadian.

Sumber