Dua anggota polis disahkan maut manakala seorang cedera, dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar yang mengesahkan perkara itu berkata insiden pada 2.45 pagi itu, melibatkan suspek yang bertopeng bersenjata pistol dan parang.

Difahamkan suspek turut mati ditembak di lokasi kejadian. Susulan itu, polis merampas sepucuk pistol Walther P99 dan Selaras HK MP5 daripada suspek.

Menurutnya, anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.

“Pihak kita sesal dengan kejadian yang berlaku. Siasatan awal mendapati anggota ditetak dan ditembak.

“Siasatan lanjut dijalankan polis,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Ulu Tiram, di sini hari ini.

Difahamkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam perjalanan ke tempat kejadian.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira 2 pagi hari ini apabila suspek seorang lelaki bangsa tidak dikenalpasti yang bertopeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis berkenaan dengan bersenjatakan parang.