Seorang pengguna jalan raya merakam satu kejadian di mana seorang rider penghantar makanan dikelilingi anggota polis di hadapan sebuah ibu pejabat polis.

Menurut kenyataan rasmi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, penghantar makanan ditahan kerana melakukan provokasi ugutan terhadap anggota polis yang bertugas di situ.

Nando's
HYPE
Tidak Perlu Ikat Perut, Ini Cara Untuk Anda Jimat Wang Makan Tengahari
Baca lagi →

Baca Juga:

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, video rakaman berdurasi satu minit 36 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial menunjukkan berlaku pergelutan antara lelaki terbabit dengan polis di hadapan IPD berkenaan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki lengkap berpakaian rasmi syarikat penghantar makanan hadir ke IPD Daerah Besut dengan menaiki sebuah motosikal.

“Dia kemudiannya bertindak mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan membuat provokasi serta melibas menggunakan cota terhadap anggota yang bertugas di pos pengawal.

“Beberapa orang anggota polis berhampiran kemudiannya hadir serta memberi amaran supaya suspek beredar.

“Suspek kemudiannya berjalan keluar mengambil sebatang cota dari bakul motosikal dan cuba berjalan masuk semula ke dalam pagar IPD,” petik kenyataan media rasmi.

Susulan itu, berlaku pergelutan antara pihak polis serta lelaki itu seperti ditularkan. Sepanjang melaksanakan tangkapan, kekerasan yang minimum mungkin terpaksa digunakan.

Kes masih dalam siasatan lanjut polis dan suspek ditahan serta disiasat mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan dan Seksyen 186, kanun sama. Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 90, Akta Polis 1967 dan Seksyen 6 (1), Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Tambah Azrol lagi, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan maklumat tidak sah yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan sebarang situasi boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.