Perdebatan mengenai asal-usul dan keaslian rendang antara Malaysia dan Indonesia seakan tidak pernah berkesudahan di media sosial.

Setiap kali isu makanan serumpun ini dibangkitkan, pasti ada netizen dari kedua-dua negara yang mula berbalah mempertahankan versi masing-masing sebagai yang paling asli.

Namun, di sebalik kehangatan perang komen di alam maya, tokoh kulinari tersohor Indonesia, William Wongso, tampil memberikan pandangan yang cukup matang, tenang dan mendamaikan.

Menerusi satu temubual santai bersama Gastronusa di acara Rasa Nusa sempena Wonderful Indonesia Gastronomy di InterContinental Bali Resort, Jimbaran, beliau mengupas isu ini dari sudut pandang sejarah dan budaya.

Tak Perlu Berperang Soal Rendang

William Wongso yang cukup dikenali sebagai figura penting dalam mempromosikan rendang ke pentas antarabangsa menyifatkan tidak ada keperluan untuk masyarakat Indonesia dan Malaysia bertelagah soal hidangan ini.

Baginya, kedua-dua negara mempunyai profil rasa dan identiti masakan yang berbeza.

“Tidak sepatutnya kita berperang soal ini kerana kalau saya lihat profilnya, rendang Malaysia itu memang berbeza dengan Indonesia.

“Orang Malaysia boleh mengatakan itu rendang yang mereka suka dan itu hak mereka,” jelas beliau dengan nada bersahaja.

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia juga tidak pernah mendakwa masakan mereka sebagai rendang Padang.

Sebaliknya, setiap negeri di Malaysia mempunyai identiti tersendiri seperti rendang Melaka atau Negeri Sembilan. Malah, hidangan versi tempatan ini turut wujud di negara jiran lain seperti Brunei dan Singapura.

Evolusi Ratusan Tahun dan Pengaruh Budaya

Mengulas lanjut tentang perbezaan tersebut, William mengakui akar umbi rendang di Malaysia memang berkemungkinan besar berasal daripada masyarakat Minangkabau yang merantau beratus-ratus tahun dahulu.

Namun, peredaran masa dan asimilasi budaya telah membentuk evolusi rasa yang baharu.

Menurutnya, selepas lebih satu abad, berlakunya perkahwinan campur serta kemasukan pengaruh budaya lain seperti masyarakat India dan Cina telah mengubah cara penyediaan masakan tersebut.

Ini bahkan akhirnya melahirkan satu hidangan berprinsipkan rendang, tetapi diolah mengikut cita rasa dan identiti masyarakat tempatan di Malaysia.

Kisah Chef Wan Masak Rendang Merah Guna Gula

Menariknya, William turut berkongsi pengalaman peribadinya ketika memasak bersama chef selebriti terkenal Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Beliau mengakui agak terkejut melihat cara Chef Wan menyediakan rendang ayam yang berwarna kemerahan dan turut dimasukkan sedikit gula.

“Saya tanya, kenapa warnanya merah? Kemudian diletakkan gula sedikit. Chef Wan jawab, inilah yang ibu saya ajarkan.

“Ya, beliau seorang Muslim tetapi ibunya berketurunan Cina. Jadi masyarakat Peranakan di sana menginterpretasikan rendang dengan cara sebegitu,” cerita beliau sambil tersenyum.

Walaupun bagi orang Indonesia warna kemerahan dan rasa manis itu lebih menyerupai bumbu rujak, William menegaskan bahawa tiada siapa yang salah dalam hal ini.

Setiap komuniti berhak mengekalkan warisan rasa yang diturunkan oleh keluarga masing-masing.

Falsafah Dapur Orang Dahulu: Cuma Batu Tak Boleh Direndang

Dalam perbualan tersebut, William turut memetik kata-kata hikmah daripada seorang pengusaha rendang terkenal di Sumatera Barat yang pernah berpesan kepadanya bahawa tidak wujud istilah rendang yang tidak sedap.

Setiap orang mempunyai cita rasa kegemaran tersendiri, dan satu-satunya benda di dunia ini yang tidak boleh dijadikan rendang hanyalah batu.

Beliau juga mengingatkan kembali falsafah sebenar di sebalik kepelbagaian bahan dalam masakan rendang tradisional.

Pada zaman dahulu, golongan ibu dan nenek sering mencampurkan bahan tambahan seperti kentang atau kacang merah ke dalam masakan daging.

Tujuannya bukanlah untuk merosakkan resipi, sebaliknya atas dasar kasih sayang dan kelangsungan hidup keluarga.

Apabila mempunyai anak yang ramai sehingga sepuluh orang tetapi hanya mampu membeli sekilogram daging, bahan-bahan tambahan ini dimasukkan supaya hidangan mencukupi untuk semua tanpa mengubah keaslian rasa rempahnya.

Pendekatan terbuka daripada tokoh kulinari seperti William Wongso ini membuktikan bahawa makanan sepatutnya menjadi jambatan yang meraikan kepelbagaian budaya serumpun, bukannya punca perbalahan yang merenggangkan hubungan sesama jiran.