TEG Sport mengumumkan satu perlawanan bola sepak berprestij yang akan berlangsung pada Ogos ini melibatkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea dan juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC (JDT).
Perlawanan yang amat dinanti-nantikan itu dijadual berlangsung pada Selasa, 11 Ogos 2026 dengan sepak mula pada jam 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, stadium bertaraf dunia yang mampu menampung kira-kira 34,000 penyokong.
Perlawanan tersebut menawarkan peluang istimewa kepada para peminat bola sepak untuk menyaksikan kelab kebanggaan Malaysia itu menentang Chelsea.
Perlawanan itu juga menjadi sebahagian daripada persiapan pra-musim Chelsea menjelang kempen musim 2026/27, selain memberi peluang kepada JDT untuk menguji kemampuan mereka menentang pasukan elit Eropah di gelanggang sendiri.
Chelsea merupakan juara semasa Piala Dunia Kelab FIFA dan satu-satunya kelab yang pernah memenangi kesemua trofi utama dalam era moden bola sepak.
Kelab yang ditubuhkan pada tahun 1905 itu memiliki koleksi trofi yang mengagumkan termasuk enam kejuaraan Divisyen Pertama/Liga Perdana Inggeris, lapan Piala FA, lima Piala Liga Inggeris, dua trofi Liga Juara-Juara UEFA, dua trofi Liga Europa UEFA dan dua trofi Piala Pemenang Piala UEFA.
Menjelang musim 2026/27, Chelsea FC turut mengumumkan pelantikan Xabi Alonso sebagai pengurus baharu pasukan dalam usaha meneruskan kejayaan semasa dan membuka lembaran baharu di Stamford Bridge.
Chelsea FC juga kekal sebagai antara jenama bola sepak paling dikenali dan disokong di dunia dengan jumlah penyokong yang besar di seluruh Asia Tenggara, sekali gus menjadikan perlawanan ini lebih istimewa. Johor Darul Ta’zim FC pula telah mencipta era dominasi luar biasa dalam bola sepak Malaysia dan Asia.
Pasukan Harimau Selatan itu terus mengukuhkan dominasi dalam bola sepak tempatan apabila menjulang 12 kejuaraan Liga Super Malaysia berturut-turut, di samping meraih beberapa kejuaraan Piala Malaysia serta kejuaraan Piala FA Malaysia.
Di pentas Asia, JDT turut mencipta sejarah apabila menjuarai Piala AFC serta terus mempamerkan corak permainan berkualiti secara konsisten dalam kempen Liga Juara-Juara AFC, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara kelab bola sepak terkemuka di Asia Tenggara.
Beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, JDT bakal membawa cabaran serta harapan penyokong tempatan dalam pertemuan berprestij itu.
Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea FC, Pete Nuttall berkata, pihaknya gembira dapat menjadikan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim sebagai aksi terakhir jelajah pra-musim pasukan itu selain kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak aksi persahabatan pada tahun 2013.
“Sukan bola sepak mempunyai kelompok penyokong yang amat bersemangat di rantau ini dan merupakan peluang terbaik untuk penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi sekali lagi menjelang musim baharu,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim FC, Luis Garcia berkata, pihaknya berasa amat bangga dan berbesar hati dapat menjadi tuan rumah kepada salah satu kelab Liga Perdana Inggeris paling terkenal di dunia.
“Perlawanan ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting buat kelab kami, malah mencerminkan peningkatan kedudukan JDT dalam arena bola sepak Asia.
“Stadium Sultan Ibrahim merupakan kubu kami dan pada Ogos nanti, akan menjadi pentas kepada satu malam yang pasti sukar dilupakan. Kami menantikan perlawanan ini dan berharap akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perlawanan berprofil tinggi pada masa hadapan.
“Chelsea bukan sahaja akan menikmati layanan mesra JDT serta kemudahan bertaraf dunia yang kami miliki, malah berpeluang menikmati keindahan negeri Johor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan TEG Sport, Ms. Rachael Carroll berkata, pihaknya teruja membawa Chelsea FC ke Malaysia dan merakamkan penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor atas sokongan berterusan dalam merealisasikan perlawanan bersejarah tersebut serta peluang menggunakan Stadium Sultan Ibrahim.
“Kami sering mendengar mengenai semangat luar biasa peminat bola sepak Malaysia dan kami tidak sabar untuk merasai sendiri suasana penuh meriah pada hari perlawanan nanti,” katanya. Perlawanan tersebut turut disokong oleh Rakan Pengalaman Rasmi, Tatler.
Para peminat boleh mendaftar untuk akses pra-jualan eksklusif bersama TEG Sport menerusi laman sesawang rasmi mereka bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan perlawanan.
Pra-jualan untuk kelab penyokong Chelsea dan JDT akan dibuka pada Khamis, 21 Mei 2026 jam 10 pagi, manakala jualan umum bermula Jumaat, 22 Mei 2026 jam 12 tengah hari.
Harga tiket bermula dari RM154 dengan lima kategori tempat duduk ditawarkan sehingga RM1,254 bagi tempat duduk VIP.
Tiket boleh dibeli menerusi Tickethotline.com.my dan tertakluk kepada caj pemprosesan bagi setiap transaksi.
Harga Penuh Tiket JDT vs Chelsea
VIP – RM 1,254
Kategori A – RM 654
Kategori B – RM 454
Kategori C – RM 254
Kategori D – RM 154