Chery Auto Malaysia mengumumkan pelaksanaan kempen panggil semula (recall) bagi kenderaan OMODA 5 yang terjejas, melibatkan varian C dan H, susulan insiden yang membabitkan model berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Chery Auto Malaysia memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut sejak ia mula berlaku.

Menerusi kempen berkenaan, pemilik kenderaan OMODA 5 yang terlibat akan diminta menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti keadaan komponen berkaitan. Penggantian komponen yang terjejas akan dilakukan sekiranya perlu.

Menurut Chery Auto Malaysia, pelanggan boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam kempen panggil semula itu dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) menerusi laman web rasmi syarikat.

Pemeriksaan menyeluruh serta sebarang tindakan susulan yang diperlukan akan diberikan kepada pelanggan tanpa sebarang kos.

“Pelanggan akan menerima pemeriksaan kenderaan yang menyeluruh serta sebarang tindakan susulan yang diperlukan tanpa sebarang kos,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa sama, pemilik OMODA 5 yang ingin mendapatkan kepastian mengenai keadaan kenderaan masing-masing turut digalakkan mengunjungi pusat servis sah Chery untuk mendapatkan bantuan daripada pasukan teknikal syarikat.

Chery Auto Malaysia turut menjelaskan bahawa semua model yang sedang dikeluarkan ketika ini tidak terjejas oleh kempen panggil semula berkenaan.

“Semua model pengeluaran semasa tidak terjejas oleh kempen panggil balik ini,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, syarikat itu turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan menegaskan bahawa keselamatan serta kesejahteraan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi.

“Chery Auto Malaysia dengan rendah hati memohon kemaafan daripada seluruh pihak yang terkesan. Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan kami sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” kata Chery.

Bagi pemilik yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai kempen tersebut, mereka boleh menghubungi Chery Careline di talian 03-9388 0888.

Chery Malaysia Panggil Semula OMODA 5 Varian C & H, Pemeriksaan Dan Penggantian Komponen Percuma

Pemilik OMODA 5 disarankan membuat semakan VIN menerusi laman web rasmi Chery Auto Malaysia bagi memastikan sama ada kenderaan mereka termasuk dalam kempen panggil semula berkenaan.