Apabila Kevin De Bruyne meninggalkan Manchester City, persoalan terbesar yang muncul bukan sekadar siapa bakal memakai nombor 17.

Persoalannya lebih besar — siapa yang mampu menggantikan visi, kreativiti dan kemampuan pemain Belgium itu untuk mengubah arah sesebuah perlawanan?

Menariknya, City tidak hanya bergantung kepada laporan pencari bakat atau pemerhatian di tepi padang.

Dalam dokumentari terbaharu kelab itu, mereka mendedahkan penggunaan teknologi dan perisian rekrutmen untuk mencari pemain yang mempunyai profil paling hampir dengan De Bruyne.

Sebanyak 43 kriteria prestasi dianalisis. Data tersebut merangkumi aspek kreativiti, hantaran progresif, penciptaan peluang, pergerakan tanpa bola dan sumbangan ketika menyerang.

Manchester City Gunakan 43 Metrik Analisis Untuk Sahkan Cherki Sebagai Pengganti Terbaik Kevin De Bruyne

Daripada kumpulan besar pemain tengah menyerang yang dinilai, satu nama muncul paling menonjol — Rayan Cherki.

Namun, statistik sahaja tidak cukup untuk meyakinkan City. Cherki mempunyai kemampuan teknikal yang luar biasa, tetapi reputasinya ketika di Lyon menimbulkan tanda tanya.

Ada laporan yang menggambarkan pemain Perancis itu sebagai tidak stabil secara emosi, “tidak boleh dijangka” dan agak “kacau” dari segi mentaliti.

Hugo Viana dan Txiki Begiristain tidak terus menolak Cherki. Sebaliknya, mereka menyiasat dengan lebih mendalam.

Manchester City mendapati sebahagian kritikan tersebut berkait rapat dengan usia Cherki, selain proses perkembangannya di Lyon. Isunya bukan bakat, tetapi bagaimana bakat itu dibentuk dan disalurkan.

Mereka yakin persekitaran di Manchester City masih boleh mencorakkan mentaliti dan sikap pemain itu.

Proses seterusnya, apabila Pep Guardiola sendiri mula percaya terhadap potensinya, pengurus City ketika itu mengambil langkah seterusnya.

Guardiola mengadakan panggilan video secara peribadi dengan Cherki untuk meyakinkannya agar menyertai Manchester City.

Risiko akhirnya diambil. Dan keputusan itu kelihatan semakin tepat.

Cherki menamatkan musim debutnya dengan 11 gol dan 17 bantuan gol.

Lebih mengagumkan, 12 daripada bantuan golnya dalam Premier League hadir melalui permainan terbuka. Dia terus muncul sebagai antara pemain paling kreatif dalam jentera serangan City.

Membolehkan dia dicalonkan sebagai finalis untuk Pemain Terbaik Tahunan PFA.

Musim baharu juga dimulakan dengan impak besar. Masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Bournemouth, Cherki menghasilkan dua bantuan gol untuk membantu City bangkit dan mengutip kemenangan.

Dulu dia dianggap tidak menentu. Kini, dia sedang berkembang menjadi senjata kreatif utama City.

City mencari pengganti De Bruyne. Perisian itu menganalisis 43 metrik dan memilih Cherki. Buat masa ini, mesin tersebut nampaknya tidak tersilap.