Penyanyi rock, Cliff Umar mengaku bersalah kerana memiliki dan mengambil dadah beberapa bulan lalu.
Penyanyi popular, Cliff Umar mengaku bersalah di hadapan Majistret Sasha Diana di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Selepas pengakuan dibuat oleh Cliff Umar, maka artis tersebut telah dikenakan denda sebanyak RM5,500. Jika dia gagal membayar denda tersebut, Cliff Umar akan dipenjara selama 13 bulan.
Peguam yang mewakilinya meminta agar denda tesebut dikurangkan memandangkan anak guamannya itu menanggung seorang isteri dan juga 4 orang anak. Ini ditambah dengan situasi Cliff Umar yang tiada pendapatan tetap sebagai seorang penyanyi.
Timbalan pendakwa raya kemudian mencadangkan agar Cliff Umar dikenakan hukuman berbentuk pencegahan kerana kekerapan kes dan mengambil kira kepentingan awam.
Kemudian dia akan berada di bawah pengawasan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Pada 26 Mei yang lalu, Cliff Umar menggemparkan peminatnya apabila di ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylymorphine seberat 0.9 gram.
Kesalahan dilakukan di Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya pada 26 Mei 2024 pada pukul 3 petang.
Dia kemudian didakwa telah memberikan dadah kepada dirinya di tandas Balai Polis USJ8 kira kira pukul 6 petang pada hari yang sama – menurut laporan Harian Metro.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Cliff Umar pernah popular bersama dengan Projek Pistol dengan lagu hits mereka, ‘Wanita Seluruh Dunia’. Dia pernah memenangi program nyanyian di sebuah stesen tv swasta untuk musim ke-13.