CoKeeps Sdn Bhd (CoKeeps) mengumumkan pelancarannya sebagai Penyimpan Aset Digital (DAC) beriktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang pertama di Malaysia. Kelulusan yang diberikan oleh SC ini memberi makna terdapat perkhidmatan pihak ketiga yang bertauliah bagi memudahkan penyimpanan dan perlindungan aset digital.

Ini jelas menunjukkan penerimaan oleh pihak pengawal selia terhadap penggunaan aset digital dari pihak individu serta institusi secara meluas dapat dilindungi melalui perkhidmatan yang mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Selepas tiga tahun kami berusaha untuk membangunkan penyelesaian DAC yang kukuh dengan bimbingan SC, kami berbesar hati untuk menjadi syarikat yang pertama diluluskan untuk beroperasi di bawah Garis Panduan SC untuk Aset Digital.

“SC berada di barisan hadapan di kalangan pengawal selia sedunia dalam memajukan pendekatan kawalan aset digital, dan garis panduannya menyediakan arah tunjuk yang jelas dalam pembangunan kelas aset ini secara selamat dan bertanggungjawab,” kata Suhanna Husein, Ketua Pegawai Eksekutif CoKeeps.

“Kami bertekad untuk bekerjasama dengan SC bagi memastikan penyelesaian DAC kami memenuhi taraf pengawalseliaan yang tertinggi, dan kami teruja untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan ekosistem aset digital di Malaysia.

“Ciri-ciri keselamatan CoKeeps adalah unik kerana infrastrukturnya dibina untuk mengatasi ancaman luaran dan dalaman,” kata Suhanna.

CoKeeps kini terlibat dengan entiti-entiti lain yang terkawal selia dalam pasaran modal seperti pengendali pasaran yang beriktiraf, termasuklah pertukaran aset digital untuk mata wang digital dan tawaran pertukaran permulaan untuk token digital.

“Tambahan lagi, pelbagai pengurus dana dan institusi kewangan lain sedang memperluaskan tawaran mereka dengan aset digital dan memerlukan penyelesaian sedia ada seperti yang kami tawarkan bagi memenuhi segala pematuhan yang ditetapkan,” tambah Suhanna.

Berita negatif tidak halang perjalanan CoKeeps

Walaupun terdapat banyak berita negatif mengelilingi pasaran kripto berikutan kejatuhan FTX, sebuah pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia yang bankrap , ini tidak menghalang aliran modal ke dalam ruang aset digital. Kebanyakkan institusi kewangan tradisional di seluruh dunia telah mula menggandakan pelaburan mereka ke dalam aset digital seperti pengurus aset dan syarikat pelaburan (Franklin Templeton dan Blackrock) dengan pertukaran aset digital.

Untuk memberi keyakinan terhadap risiko yang berkaitan penyimpanan aset digital, keupayaan pihak ketiga yang bebas seperti Penyimpan Aset Digital yang berkelayakan untuk mempunyai pemahaman tentang teknologi yang mendalam dan infrastruktur yang mantap bagi melindungi ancaman aset digital adalah sangat penting.

“Secara global, belum ada jalan penyelesaian yang boleh menangani risiko ancaman pihak dalaman. Pengguna terpaksa mempercayai entiti yang menguruskan dana di mana akauntabiliti sukar diperjelaskan, malah lebih membimbangkan lagi pengguna harus percaya pembekal perkhidmatan tidak akan mengkompromi atau menyalini kunci peribadi kriptografi tanpa pengetahuan pengguna.

“Kekurangan inilah yang kami usaha untuk tangani, dengan seni bina keselamatan desentralisasi yang memastikan setiap tindakan mesti disahkan, memastikan tiada individu boleh bertindak mengikut kehendak sendiri tanpa kebenaran,” jelas Suhanna.

CoKeeps telah disenaraikan sebagai Penjaga Aset Digital berdaftar, dan boleh dirujuk dengan menyemak di laman web SC di sini.