Menerusi Belanjawan 2024 yang berlangsung pada tengah Oktober lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bakal mengenakan cukai barangan mewah bermula tahun hadapan.

Difahamkan pada ketika ini, kementeriannya sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan dasar dan perundangan cukai barangan bernilai tinggi itu.

Cukai barangan mewah ini walau bagaimanapun tidak dikenakan kepada para pelancong di mana para pelancong bakal mendapat bayaran balik sebagai usaha untuk menarik lebih banyak pelancong datang ke Malaysia.

Menurut laporan daripada akhbar The Star pada 27 Oktober lalu, cukai ini bakal dikenakan ke atas barangan mahal seperti jet peribadi, kapal layar, barangan kemas dan kereta mewah.

Sumber itu mendakwa cukai berkenaan akan dikenakan ke atas kereta yang dijual melebihi RM200,000, jam tangan melebihi RM20,000 dan barangan kemas berharga melebihi RM10,000.

Menurut sumber itu, perkara tersebut disenaraikan dalam dokumen yang bertujuan untuk mendapatkan maklum balas industri.