Perbincangan mengenai berapakah pendapatan golongan yang dikatakan mahakaya kini menjadi bualan netizen, terutamanya kumpulan T15.

Untuk yang belum tahu, T15 merujuk kepada 15% teratas golongan pendapatan tertinggi di negara ini, berbanding kategori yang lebih biasa seperti M40 (golongan pertengahan) dan B40 (golongan berpendapatan rendah).

Melalui perkongsian @Thevesh, sambil merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), difahamkan bahawa pendapatan kumpulan T15 berbeza mengikut negeri, dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur berada di puncak senarai.

Berdasarkan carta yang dikongsikan, pendapatan isi rumah yang diperlukan untuk mencapai status T15 adalah seperti berikut:

  1. Putrajaya: RM21,726
  2. Kuala Lumpur: RM19,005
  3. Selangor: RM17,849
  4. Johor: RM13,387
  5. Pulau Pinang: RM13,206
  6. Melaka: RM12,766

Dan jika dilihat pada hujung senarai, negeri seperti Kelantan hanya memerlukan RM7,759 untuk berada dalam golongan T15.

Ini menunjukkan perbezaan ekonomi antara negeri maju dan negeri-negeri lain.

Walaupun T15 sering dikaitkan dengan golongan berpendapatan tinggi, @Thevesh sendiri menyatakan bahawa pada tahap nasional, purata pendapatan untuk menjadi T15 adalah sekitar RM13,000 sebulan.

Jumlah ini mungkin kelihatan besar bagi sesetengah orang, tetapi seperti yang dijelaskan oleh Syed Saddiq dalam salah satu balasan, angka ini adalah berdasarkan pendapatan isi rumah, bukan individu.

Ini bermaksud jika satu keluarga mempunyai dua ahli bekerja, setiap orang perlu menghasilkan sekitar RM7,000 untuk mencapai jumlah itu.

Untuk rekod, Bajet 2025 yang dibentangkan semalam mencuri tumpuan ramai, tambah-tambah bila mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan cukai baru ke atas pendapatan dividen individu yang bakal dilaksanakan pada tahun taksiran 2025.

Melalui inisiatif ini, pemegang saham individu yang menerima dividen melebihi RM100,000 setahun akan dikenakan cukai sebanyak 2 peratus.

Selain itu, kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.

Subsidi RON 95 bakal dipotong sebanyak RM8 bilion untuk golongan 15 peratus berpendapatan paling tinggi (T15)

Netizen melihat pengenalan kepada cukai baharu dan penarikan subsidi untuk golongan T15 adalah cara kerajaan memastikan bahawa subsidi diberikan kepada golongan yang betul-betul memerlukan dan golongan yang berpendapatan lebih tinggi turut menyumbang secara saksama kepada hasil negara.