Pada bulan Mei yang lalu, Mark O’Dell, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), menerima bil sepanjang 13 muka surat berjumlah RM18,837.55 untuk pembedahan hernia kecil yang dilakukannya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Bekas CEO AIA dan Manulife di Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Taiwan yang mempunyai pengalaman lebih 44 tahun dalam industri insurans hayat merasa terkejut dan keliru, lapor CodeBlue.
“Bagaimana mungkin prosedur ringkas dengan satu malam penginapan di hospital boleh menghasilkan bil sepanjang 13 muka surat?” soal CEO LIAM.
Bil yang dikeluarkan pada 28 Mei itu dipenuhi dengan pelbagai item, kebanyakan daripadanya tidak difahami sepenuhnya oleh veteran industri insurans tersebut.
Bil penuh tersebut boleh dilihat menerusi Facebook CodeBlue.
“Apabila melihat semua item, saya tidak faham beberapa perkara yang ada di situ,”
“Bagaimana saya sebagai pengguna dapat memahami apa yang perlu dan apa yang tidak? Ini tidak betul,” kata O’Dell kepada CodeBlue dalam satu wawancara pada 16 Ogos.
Bil tersebut termasuk caj untuk 95 item dalam 13 kategori berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM18,837.57.
“Pembedahan artroskopi ini sebenarnya adalah sesuatu yang hebat. Mereka tidak perlu membedah anda secara terbuka. Penyembuhan anda lebih cepat, dan mungkin itu sebabnya beberapa kosnya lebih tinggi,” kata O’Dell.
“Namun, beberapa perkara di sini, saya lihat – tiga alas pakai buang berharga RM32.70, penutup probe telinga berharga RM6.30. Tiada apa-apa yang dikawal. Tiada sebab mengapa esok mereka tidak boleh menaikkan harga ini kepada RM6.60 atau RM7.60.”
Caj doktor sebanyak RM2,621 hanya merangkumi 14 peratus daripada jumlah bil hospital, manakala ubat-ubatan berjumlah RM2,606.68 membentuk 14 peratus lagi.
Bahagian terbesar bil hospital O’Dell adalah untuk peralatan/alat-alat dengan kos RM3,850.30, membentuk 20 peratus.
Bagaimanapun, CEO LIAM itu enggan menyebut nama hospital swasta yang merawatnya.