Dua lelaki warga Algeria dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret baru-baru ini selepas mencuri sebuah beg tangan mewah bernilai RM10,670 dengan tujuan untuk menjualnya dan membiayai percutian mereka ke Malaysia.

Memetik New Straits Times, Mahkamah diberitahu bahawa dua pelancong, Mohamed Moali, 35, dan Mohamed Lamine Doudou, 32, telah mencuri sebuah beg tangan mini hitam berhias permata pada jam 11.08 pagi dari sebuah premis di kompleks membeli-belah terkenal pada 23 Mac lalu.

Baca Juga:

Pertuduhan tersebut, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Fakta kes menyatakan bahawa seorang pembantu jualan mendapati beg tangan tersebut hilang dari rak pada jam 3 petang pada hari yang sama. Kemudian laporan polis dibuat.

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan salah seorang lelaki terbabit mengambil beg tersebut dari rak, meletakkannya ke dalam beg kertas. Lalu meninggalkan premis berkenaan.

Semasa siasatan dijalankan, kedua-dua lelaki tersebut mengaku melakukan jenayah berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal.

“Mahkamah perlu mengambil kira kerugian yang dialami dalam kes ini.”

“Hukuman ini seharusnya menjadi pengajaran kepada tertuduh bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Charanpal Singh, memohon rayuan agar hukuman diringankan memandangkan kedua-dua tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarga masing-masing.

Beliau memaklumkan bahawa Moali bekerja sebagai pereka bentuk manakala Lamine pula merupakan seorang kontraktor.

Mengaku bersalah nak cepat tinggalkan Malaysia

“Pengakuan bersalah mereka telah menjimatkan masa mahkamah.”

“Mereka berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut dan memohon hukuman penjara yang singkat kerana ingin pulang ke negara asal,” katanya.

Charanpal turut memohon agar mahkamah mengambil kira bahawa kedua-dua tertuduh telahpun menjalani hukuman penjara selama tiga bulan bagi kesalahan yang sama di sebuah Mahkamah Majistret yang lain.