Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua! Moga semua bergembira di samping keluarga dan orang tersayang di Hari yang mulia ini.

Pasti anda ada menerima daging korban ataupun melakukan korban kan? Jadi, saya nak kongsikan info ini secara ringkas tentang bagaimana mengendalikan daging korban.

Fakta Daging Korban

Daging korban adalah daging haiwan yang disembelih pada Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah). Haiwan yang boleh disembelih sebagai korban adalah unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing.

Memetik laman Info Ibadat Haji yang dibangunkan oleh Jabatan Mufti Melaka, bagi korban sunat, maka sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Haj ayat 28:

Maksudnya: “….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).”

Adalah afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan.

Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya. Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.

Cara Menyimpan Daging Merah Segar

Daging korban sememangnya daging yang masih merah dan sangat segar. Untuk menjadikannya tahan lama, ia perlu disimpan dengan baik supaya tidak rosak. Daging segar amat mudah dijangkiti bakteria, jadi sebolehnya elakkan daripada dibiarkan pada suhu bilik selama lebih daripada 2 jam.

Bekukan daging untuk tingkatkan jangka hayatnya. Lebih baik daging tadi sudah dipotong kecil dan dibahagikan mengikut saiz hidangan sekali masak sebelum dibekukan. Simpan ke dalam plastik atau bekas yang bertutup.

Untuk nyahbekukan daging, keluarkan dari peti beku dan letakkan pada bahagian bawah peti sejuk semalaman. Boleh juga defrost dengan mikrowave. Elakkan merendam daging ke dalam air atau air panas untuk nyahbeku kerana dikhuatiri daging boleh tercemar.

Ada juga petua untuk daging segar tahan lebih lama dengan menyimpannya ke dalam peti sejuk terus tanpa dibasuh terlebih dahulu. Daging korban yang diperolehi dibungkus dengan plastik dan surat khabar lalu disimpan.

Nutrisi Daging Merah

Daging merah mengandungi protein dan mikronutrien yang penting. Namun jumlah yang diambil perlulah sederhana dan tidak keterlaluan untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lain.

Ia merupakan salah satu sumber protein terbaik dan berkualiti tinggi di mana protein penting untuk pertumbuhan, pemulihan tubuh dan juga beri tenaga.

Secara purata, setiap 100 gram daging merah mentah mengandungi 20-24 gram protein. Nutrien lain yang terkandung dalam daging adalah zink dan zat besi.

Jadi mereka yang mengalami masalah Hemoglobin (Hb) rendah khususnya pada ibu hamil dan menyusu boleh amalkan memakan daging merah untuk meningkatkan paras Hb kerana sumber zat besi yang ada pada daging.

Bahagian-bahagian Daging

Mengambil contoh lembu, terdapat pelbagai jenis bahagian pada lembu yang sesuai dimasak mengikut kaedah tertentu bergantung kepada tekstur dagingnya. Ini penting untuk pastikan menu daging yang kita masak sesuai dengan rasanya. Antara bahagian daging yang popular adalah loin, sirloin, T bone dan tenderloin.

Cara Memotong Daging Yang Betul

Boleh lihat video ini untuk belajar cara potong daging dengan betul:

Tip Memasak dan Mengempukkan Daging

1. Potong daging melawan alur uratnya. Cara ini mudah mengempukkan daging semasa memasak.
2. Pukul-pukulkan daging. Otot-otot daging akan menjadi longgar dan cepat dimasak. Boleh memukul daging dengan menggunakan alat pemukul daging atau ditumbuk dengan tangan sahaja.
3. Gaulkan dengan rencah atau rempah sebelum dimasak. Atau petua menambahkan cuka pada daging untuk bantu daging lembut lebih cepat bila dimasak.
4. Tetapkan suhu. Suhu yang terlalu tinggi, daging boleh mengeras atau liat. Jadi perlu dimasak perlahan-lahan dan hati-hati serta gunakan api atau suhu yang sederhana sahaja namun bergantung kepada jenis masakan.
5. Masukkan nanas ke dalam makanan berdaging. Enzim yang terdapat pada nanas boleh melembutkan daging semasa dimasak. Ia juga bantu melancarkan penghadaman.

Contoh Menu Daging Korban

Daging korban amat sedap dimakan kerana masih segar dan manis. Antara masakan yang popular adalah sup, nasi daging atau masak kurma. Boleh juga dibuat kari daging, daging bakar, daging rebus air asam, sup berempah, stik, rendang daging atau bebola daging.