Sudah acap kali kita melihat sebahagian rakyat Malaysia sepertinya tidak bangga dengan negara sendiri. Lebih menyedihkan lagi apabila ada pula yang memperlekehkan keupayaan negara sendiri dalam pelbagai aspek.

Namun berbeza pula individu luar negara yang datang ke sini lalu membuka mata apabila melihat sebenarnya banyak perkara yang perlu disyukuri oleh rakyat Malaysia.

Dakwa Rakyat Tempatan Selalu Perlekeh Negara, Pelajar Pakistan Ini Pertahankan Malaysia
Sumber Gambar:lighthouse

Perkongsian seorang individu dari Pakistan yang meluahkan rasa kurang senang dengan sebahagian warga tempatan yang sering merendahkan negara sendiri walhal banyak perkara yang patut disyukuri kerana tiada di negara lain.

Individu malah sedia mempertahankan negara Malaysia dan mengelarkan ia sebagai ‘rumah’ sebenar walaupun sudah merantau ke banyak negara di seluruh dunia.

Di dalam luahannya di platform Reddit, dia berkongsi sedikit latar belakangnya yang mana sering mengembara ke sejumlah negara terutamanya di Asia Tenggara sejak kecil lagi kerana tugasan ayahnya.

Namun sebaik berpindah ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam tempoh setahun, segalanya berubah yang dahulu tidak merasa istimewa di negara-negara lain tetapi di sini terasa seperti rumah baginya.

Perkara yang tidak dapat dinikmati di negara lain adalah sikap keterbukaan rakyat Malaysia menerima sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau agama.

Selain merasa istimewa dengan layanan di sini, dia langsung mempertahankan Malaysia dengan beri sejumlah sebab mengapa rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan segala yang dimiliki walaupun tidak perasan di dalam kehidupan seharian dan jangan selalu meremehkan negara tercinta ini.

Dakwa Rakyat Tempatan Selalu Perlekeh Negara, Pelajar Pakistan Ini Pertahankan Malaysia
Sumber Gambar: Munch

Pertama sekali, dia memuji bahawa makanan di sini sememangnya sedap. Selain itu, negara Malaysia secara keseluruhannya tidak nampak kepalsuan (mungkin pernah lihat negara yang tampak hebat di media sosial tetapi realitinya berbeza) yang mana miliki gabungan sempurna antara pemodenan dan juga peradaban masyarakat yang bagus.

Dia juga sangat meminati bagaimana pokok-pokok menghijau di semua tempat membuatkan dirinya terasa lebih ‘hidup’ kerana lebih dekat dengan alam sekitar dan selesa dengan cuaca di sini.

Dakwa Rakyat Tempatan Selalu Perlekeh Negara, Pelajar Pakistan Ini Pertahankan Malaysia
Sumber Gambar: Fsmone

Bercakap mengenai wang pula, dia merasakan nilai matawang Ringgit Malaysia adalah kuat dan agak stabil secara relatifnya.

Bukan setakat itu sahaja, dia turut meluahkan keterujaan melihat betapa hebat industri di Malaysia kerana hampir kesemua produk atau servis di sini pasti berkait dengan Malaysia atau dihasilkan secara lokal di sini.

Tambahnya, keharmonian agama dan perpaduan sosial di Malaysia tidak seperti yang pernah dia lihat di mana-mana (sekali lagi menegaskan tidak bermaksud untuk mengatakan ia sempurna tetapi ia adalah yang terbaik yang pernah dirinya lihat).

Dakwa Rakyat Tempatan Selalu Perlekeh Negara, Pelajar Pakistan Ini Pertahankan Malaysia
Sumber Gambar: UITM

Akhir sekali, dia tidak menafikan purata gaji di Malaysia berada pada bahagian rendah dan inflasi menjadi isu utama di sini tetap harga barang masih boleh dikira mampu milik dan tidak terlalu mahal seperti di negara lain.

Bagi dirinya, dia hanya boleh bermimpi untuk tinggal di Malaysia dalam jangka masa panjang tetapi masih terhalang kerana banyak prosedur yang perlu dilalui terlebih dahulu.

Dia sempat berterima kasih kepada negara Malaysia kerana menjadi ‘rumah’ yang selama ini tidak disangka diperlukan dan masih meletakkan negara ini di dalam hatinya sebagai sesuatu yang istimewa.

Perkongsian lelaki ini di platform Reddit telah meruntun hati ramai netizen tempatan dan rata-ratanya merasa terpukul dengan luahan itu dan akan lebih mensyukuri nikmat dan limpahan rezeki yang tidak disedari selama ini.

Dalam masa sama, ada juga yang mengatakan walaupun sudah berpindah ke luar negara, masih wujud perasaan rindu terhadap Malaysia walau apa pun yang terjadi.