Tular baru-baru ini dia media sosial apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dilihat membuat video membeli barangan keperluan dengan harga tidak sampai RM200.

Perkongsian video yang tular sekaligus telah menerima pelbagai respon di kalangan masyarakat ekoran kenaikan harga barangan serta pengurangan barangan keperluan dalam pasaran.

Sementara itu, Fuziah memaklumkan kepada Harian Metro bahawa video tular itu sebenarnya adalah rakaman video lama yang ditularkan kembali pihak tertentu.

“Saya maklum dan tak terkejut kerana saya percaya ada dalang di sebaliknya (isu video tular) yang mungkin bermotifkan politik.”

@vocket

“Siapa kata RM200 tak boleh? Tak cukup? Kena RM500? Jangan cakap perkara tak benar. Saya sendiri tengok dan saya sendiri nilai,” kata Senator Fuziah Salleh. #vocket #vocketrepost

♬ original sound – vocket – vocket

Menerusi rakaman video tular itu, kelihatan Fuziah melakukan tinjauan di sebuah pasar raya bagi memantau harga barang keperluan asas di pasaran dan membeli beberapa barangan untuk membuat penilaian kos.

Antara barangan dibeli ialah minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin dalam tin, tepung gandum, serbuk minuman, bawang dan kentang dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM136.30.

Fuziah kelihatan berpuas hati kerana dapat membeli beberapa barangan keperluan itu pada harga di bawah RM200.

“Siapa kata RM200 tak boleh, tak cukup, kena RM500? Jangan cakap perkara tak benar. Saya sendiri tengok dan saya sendiri nilai,” kata Fuziah merujuk rakaman dalam video berkenaan.

Menjelaskan perkara sebenar, Fuziah berkata, apa yang tular itu adalah rakaman video ketika beliau berkunjung ke sebuah pasar raya di Langkawi, Kedah pada awal Julai lalu.

“Sebenarnya ia video lama. Ketika itu ada isu yang (yang mengatakan perbelanjaan) RM200 (untuk barangan keperluan asas) tak dapat apa-apa. Jadi pada waktu itu, saya buat tinjauan di sebuah pasar raya dan beli sendiri barangan di situ.

“Harganya lebih sedikit berbanding tempat lain yang menjual barangan Jualan Rahmah, namun masih cukup dan boleh penuh bakul dengan wang di bawah RM200. Kenyataan saya dalam video bagaimanapun merujuk kepada situasi ketika itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Fuziah berharap, penjelasannya ini dapat memperbetulkan pemahaman segelintir netizen yang mungkin keliru dengan mesej cuba disampaikannya.