Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menegaskan dakwaan bahawa sebahagian besar hasil kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) datang daripada dana awam atau kerajaan adalah tidak tepat serta mengelirukan.

Menurut beliau, rujukan kepada Majlis Sukan Negeri Johor dalam penyata kewangan kelab bukan bermaksud kerajaan membiayai operasi pasukan profesional JDT. Sebaliknya, ia hanyalah sebahagian daripada prosedur pentadbiran biasa dalam ekosistem penajaan sukan di Malaysia.

Onn Hafiz menjelaskan bahawa banyak penajaan daripada syarikat swasta disalurkan melalui Majlis Sukan bagi tujuan tadbir urus yang lebih telus serta memudahkan proses pelepasan cukai.

Beliau turut menambah bahawa sebarang geran atau sumbangan kerajaan yang disalurkan sebenarnya tertumpu kepada pembangunan sukan akar umbi.

Antaranya termasuk program pembangunan bola sepak belia, penganjuran kejohanan peringkat daerah serta usaha memperkukuh ekosistem bola sepak negeri melalui Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan persatuan daerah.

Tegasnya lagi, dana tersebut bukan digunakan bagi membiayai operasi pasukan profesional JDT.

Dalam masa sama, kerajaan negeri berharap orang ramai lebih berhati-hati dalam menyemak fakta sebelum membuat sebarang tuduhan atau kesimpulan.

Menurut beliau, penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan usaha berterusan untuk membangunkan ekosistem sukan yang lebih sihat dan profesional di negeri Johor.

Datuk Onn Hafiz berkata menerusi siaran Facebook: “Kerajaan Negeri Johor memandang serius penyebaran maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan di media sosial berhubung dakwaan bahawa sebahagian besar hasil kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kononnya datang daripada sumber awam atau kerajaan.

“Seperti yang telah dijelaskan oleh pihak JDT, rujukan kepada Majlis Sukan Negeri Johor dan saluran berkaitan kerajaan dalam penyata kewangan adalah prosedur pentadbiran biasa dalam ekosistem penajaan sukan negara.

“Banyak penajaan daripada syarikat swasta disalurkan melalui Majlis Sukan bagi tujuan tadbir urus dan pelepasan cukai.

“Oleh itu, angka yang dipetik oleh pihak tertentu tidak boleh disamakan sebagai pembiayaan langsung kerajaan terhadap operasi kelab.

“Pada masa yang sama, sebarang geran atau sumbangan kerajaan yang disalurkan adalah khusus untuk pembangunan sukan akar umbi, termasuk program pembangunan bola sepak belia, kejohanan di peringkat daerah serta pengukuhan ekosistem bola sepak negeri melalui Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PNBJ) dan persatuan daerah. Dana tersebut bukan disalurkan bagi tujuan operasi pasukan profesional JDT.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam menyemak fakta sebelum membuat sebarang tuduhan atau kesimpulan. Penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan usaha berterusan untuk membangunkan ekosistem sukan yang sihat dan profesional di negeri Johor.”