Kedaulatan sesebuah negara dan keharmonian kawasan sempadan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi, apatah lagi apabila ia melibatkan sejarah pentadbiran yang menjangkau ratusan tahun.

Baru-baru ini, timbul satu dakwaan yang mencetuskan persoalan serta kegusaran dalam kalangan rakyat apabila Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari, mengeluarkan kenyataan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik kini secara rasmi telah disahkan sebagai milik Indonesia.

Dakwaan Indonesia Miliki 127.3 Hektar Pulau Sebatik Tidak Tepat, NRES Dedah Fakta Sebenar
Sumber Gambar: Sabah Media

Menurut beliau, pengesahan tersebut adalah hasil diplomasi damai yang memperjelaskan garis sempadan rasmi serta mengukuhkan kedaulatan wilayah republik itu.

Namun, benarkah Malaysia telah kehilangan sebahagian daripada wilayahnya dalam proses ini?

Dakwaan Indonesia Miliki 127.3 Hektar Pulau Sebatik Tidak Tepat, NRES Dedah Fakta Sebenar
Sumber Gambar: Berita Harian

Memetik Sinar Harian, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, segera menoktahkan kekeliruan ini dengan menggariskan fakta yang sebenar.

Melalui satu kenyataan tegas yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha NRES, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, dalam satu sesi libat urus bersama editor media di Putrajaya, kerajaan menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan sama sekali tidak selaras dengan rekod rasmi persetujuan antarabangsa.

“Berdasarkan Artikel IV perjanjian tersebut, jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ditetapkan di sepanjang garisan latitud 4ยบ 10′ Utara,” jelas Datuk Seri Arthur, merujuk kepada Boundary Convention 1891 yang ditandatangani antara kerajaan British dan Belanda.

Isu persempadanan ini bukanlah sebuah keputusan yang dicapai dalam sekelip mata. Ia mula mendapat perhatian apabila satu semakan teknikal bersama yang dilakukan pada tahun 1983 mendedahkan wujudnya perbezaan ketara antara jajaran di lapangan berbanding apa yang direkodkan dalam perjanjian asal.

Rundingan penuh diplomasi ini menuntut kesabaran tinggi dan berlangsung selama 35 tahun sebelum satu resolusi bersejarah diluluskan pada Oktober 2018.

Pasukan ukur kedua-dua negara kemudiannya memerah keringat menjalankan kerja siasatan dan pengukuran semula dari Februari hingga November 2019 menggunakan teknologi moden demi memastikan kejituan dan keadilan persetujuan yang dicapai.

Di sinilah nilai diplomasi dan sentuhan keadilan dalam hubungan serantau terserlah. Penyelesaian isu ini sama sekali tidak boleh dilihat dari sudut ‘kalah atau menang’, sebaliknya ia merupakan penyelesaian secara berpakej yang melibatkan beberapa lokasi berbeza.

“Malaysia telah memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia, kini berada dalam wilayah Malaysia,” terang Datuk Seri Arthur membetulkan persepsi sempit sesetengah pihak.

Bahkan, sekiranya diteliti di kawasan Pulau Sebatik secara khusus, Malaysia turut mendapat pertambahan lima hektar kawasan baharu.

Pertukaran kawasan seluas 123 hektar yang sebelum ini ditadbir Malaysia ke dalam wilayah Indonesia dilakukan berlandaskan prinsip kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa, tanpa sedikit pun melibatkan unsur pampasan, prinsip timbal balik, ataupun pertimbangan untung rugi secara komersial.

Detik bersejarah ini akhirnya dimuktamadkan secara rasmi menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) pada 18 Februari 2025, menandakan kejayaan kerjasama teknikal yang telah memakan masa lebih 45 tahun.

Bagi penduduk tempatan, khususnya di negeri di bawah bayu, penyelesaian ini menyuntik rasa lega. Sepanjang rundingan yang kompleks ini, kerajaan negeri Sabah sentiasa dilibatkan pada setiap peringkat bagi memastikan nasib dan kepentingan negeri tersebut terus terpelihara.

Pemuktamadan ini bukan sekadar memberi kepastian perundangan, malah ia mengukuhkan sistem penyampaian pentadbiran awam dan memudahkan pengurusan logistik keselamatan di kawasan perbatasan.

Sebagai renungan bersama, Datuk Seri Arthur mengingatkan tentang peri pentingnya memelihara keamanan hubungan serantau. “Pendekatan diplomasi yang berterusan antara Malaysia dan Indonesia amat penting bagi mengekalkan keharmonian serta mengelakkan konflik di lapangan,” tegas beliau.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada para pengamal media agar sentiasa mencari kesahihan daripada sumber berautoriti sebelum melaporkan isu sempadan yang sensitif, demi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.

Sesungguhnya, keutuhan sempadan bukan sekadar membicarakan tentang ukuran tanah, tetapi ia adalah manifestasi rasa hormat, diplomasi matang, dan kedamaian sepunya yang dipupuk antara dua buah negara berjiran.