Pemain pertahanan negara, Daniel Ting tidak mahu mengabaikan pasukan negara ketika ada laporan yang mengatakan beliau antara pemain yang bakal dipanggil pulang oleh kelab bagi beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Dua pasukan iaitu Sabah dan Selangor dilaporkan mahu memanggil pemain yang berada dalam skuad kebangsaan untuk kembali ke pangkuan mereka bagi menghadapi perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia.

Baca Juga:

Ketika ini, seramai enam pemain dari dua kelab di atas iaitu Harith Haiqal, Kalamullah A-Hafiz, Dominic Tan, Daniel Ting, Darren Lok dan Stuart Wilkin berada dalam skuad yang menghadapi Piala AFF dan pasukan negara berdepan risiko untuk turun menentang Thailand tanpa enam pemain ini.

Daniel enggan memikirkan mengenai perkara tersebut dan berkongsi kedudukan beliau sebagai seorang pemain profesional untuk kedua-dua pasukan.

“Itu bukan keputusan yang boleh saya buat. Saya beri laluan kepada Sabah dan FAM mengenai masalah itu. Secara peribadi, saya mahu beraksi untuk kedua-duanya.

“Tetapi ini merupakan masalah yang terjadi apabila saingan liga terus berjalan ketika kejohanan Piala AFF berlangsung,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua jurulatih pasukan, Pau Marti kehilangan tiga pemain iaitu Syafiq Ahmad, Fergus Tierney dan Darren Lok yang mengalami kecederaan pada separuh masa pertama ketika aksi menentang Timor Leste.

Melihat kepada situasi ini, skuad Harimau Malaya mungkin kehilangan majoriti pemain utama bagi perlawanan menentang Thailand pada 14 Disember ini sekaligus boleh menjejaskan usaha untuk mara ke peringkat seterusnya.

Ketika ini, Malaysia berada di tangga teratas kumpulan A selepas mengutip empat mata dari dua perlawanan yang dihadapi. Skuad Harimau Malaya mencatat keputusan seri 2-2 ketika turun menentang Timor Leste.