Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan terima kasih kepada skuad negara kerana melepaskan tiga pemain mereka iaitu Arif Aiman Mohd Hanapi, Matthew Davies dan Muhammad Feroz Baharudin.
Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan JOHOR Southern Tigers menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Alistair Edwards sebentar tadi, JDT memohon perlepasan awal berikutan perjalanan ke China yang perlu dilakukan pada 21 November untuk menghadapi Shandong Taishan dalam saingan Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25.
JDT bagaimanapun memberikan ruang kepada Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk terus bersama skuad negara bagi mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bertemu India di Hyderabad pada 18 November nanti.
“JDT berterima kasih kepada Harimau Malaysia kerana memberikan pelepasan awal kepada pemain disebabkan jadual perjalanan Liga Juara-Juara AFC Elite.”
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memohon perlepasan awal Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matt Davies disebabkan oleh perancangan perjalanan menjelang aksi kami di Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) menentang Shandong Taishan.”
“Kami dijadualkan berlepas ke China pada 21 November, yang mana hanya sehari (20 Nov) selepas pemain-pemain kebangsaan pulang selepas perlawanan Harimau Malaya menentang India pada 18 November.”
“JDT mengambil serius kejohanan elit Asia selepas pelaburan besar yang dilakukan musim ini dengan harapan dapat menjalani kempen dengan cemerlang yang bukan sahaja akan meningkatkan status kelab di Asia tetapi juga meningkatkan ranking Malaysia dalam kejohanan kelab Asia.”
“Ianya akan memberikan manfaat buat bola sepak Malaysia kerana lebih banyak kelab boleh beraksi di kejohanan elit Asia pada musim-musim akan datang.”
“Kami telah mencapai kata sepakat bersama skuad Harimau Malaya agar penjaga gol, Syihan Hazmi kekal bersama skuad kebangsaan kerana Harimau Selatan telah menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre di ACLE setakat ini.”
“Kami berbesar hati dengan Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyokong kempen kami di ACLE dan JDT akan terus menyokong aspirasi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027.”