Skuad Harimau Malaya bakal beraksi menentang India pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Hyderabad, Isnin depan tanpa khidmat Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, trio JDT itu diberikan pelepasan setelah kelab gergasi tanah air itu membuat permohonan.

Baca Juga:

Melihatkan kepada perkembangan terkini tersebut, hanya Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan terus bersama skuad kebangsaan bagi memburu tambahan mata dalam pungutan ranking dunia.

“Daripada 26 pemain yang bersama skuad Harimau Malaya ke Bangkok, Thailand bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pertama menentang Laos pada Khamis, 14 November 2024, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 kedua bertemu India pada Isnin, 18 November 2024.”
“Ini kerana tiga pemain iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi telah pun dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).”
“Ia susulan jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16, Unifi Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu, 20 November 2024.”
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu.”
“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan menyertai skuad 23 pemain Harimau Malaya untuk terbang ke Hyderabad dari Bangkok, malam ini.”
Terdahulu, skuad negara berjaya meraih kemenangan 3-1 ke atas Laos pada perlawanan yang berlangsung di Stadium PAT, Bangkok tempoh hari hasil jaringan Harith Haiqal Adam Afkar, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero.
Sumber