Piala Asia merupakan kejohanan paling berprestij di Asia pastinya menjadi idaman setiap negara di benua ini mahu menyertai pertandingan tersebut.
Edisi 2023 lebih menarik untuk diperkatakan apabila skuad negara turut menamatkan penantian panjang untuk mara ke pusingan akhir selepas kali terakhir beraksi pada saingan 2007 di laman sendiri.
Baca Juga:
- Azmil Azali: Barisan Pemain Malaysia Ke Piala Asia 2023 Mampu Ceriakan Penyokong
- Darren Lok Mahu Buktikan Malaysia Memang Layak Beraksi Di Piala Asia 2023
- Skuad Piala Asia 2007, Ke Mana Mereka Kini?
Kehangatan saingan Piala Asia 2023 semakin dirasai dengan aksi sulung dijadualkan bermula 12 Januari ini yang menemukan tuan rumah, Qatar dan Lebanon.
Selain daripada dapat merasai saingan pentas tertinggi di Asia, kesemua 24 pasukan bertanding turut akan mendapat sejumlah wang yang cukup lumayan.
Menurut sumber VN Express International, sebanyak US$200,000 (kira-kira RM926,900.00 tukaran semasa) akan diterima oleh semua pasukan yang layak ke Qatar.
Ini bermakna meskipun gagal melepasi peringkat kumpulan, pasukan-pasukan tersebut tidak pulang dengan tangan kosong.
Jumlah itu akan terus meningkat melibatkan pasukan yang mara dengan lebih jauh terutamanya hingga ke peringkat separuh akhir.
Jumlah ini sama seperti yang telah diberikan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada setiap pasukan pada kejohanan edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dimana jumlah keseluruhannya menelan belanja $14.8 juta (RM68,590,600).
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima tambahan $1 juta (RM4,634,500) manakala naib juara pula bakal membawa pulang $3 juta (RM13,903,500).
Sementara itu, ganjaran tertinggi sudah pasti menjadi milik pasukan juara yang bernilai $5 juta (RM23,172,500).
Bagaimanapun lima peratus daripada wang kemenangan melibatkan juara dan naib juara akan disimpan oleh pihak AFC dan diperuntukkan kepada Yayasan AFC Dream untuk membiayai aktiviti tanggungjawab sosial yang bakal dicadangkan kedua-dua pemenang tersebut.
Johan dan naib juara Piala Asia 2023 akan dikehendaki mengemukakan cadangan aktiviti tanggungjawab sosial mereka kepada AFC dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perlawanan akhir.
Sekiranya pasukan gagal mengemukakan aktiviti bakal dilakukan, peratusan wang yang diperuntukkan akan disimpan oleh AFC untuk digunakan mengikut budi bicara sebagai tanda sokongan aktiviti tanggungjawab sosial badan induk tersebut.