Kali terakhir skuad Harimau Malaya membuat penampilan dalam kejohanan Piala Asia adalah pada edisi 2007 yang menyaksikan Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bersama Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Malaysia pada ketika itu diletakkan dalam kumpulan C yang turut dibarisi China, Uzbekistan serta juara tiga kali kejohanan, Iran.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Meskipun beraksi di laman sendiri, ia merupakan kempen yang mahu dilupakan oleh penyokong bola sepak tempatan kerana skuad negara kendalian Norizan Bakar tewas kesemua perlawanan.

Malaysia tewas 1-5 pada aksi pembukaan menentang China dan sekali lagi dibolosi lima gol ketika bertemu Uzbekistan (0-5) manakala aksi terakhir kalah 0-2 kepada Iran.

Kini bersempena kempen edisi 2023 dimana menyaksikan penglibatan skuad negara bersaing dalam kejohanan paling berprestij di Asia itu, The Vocket bawakan kepada anda serba ringkas perkembangan terkini barisan 23 pemain yang membawa cabaran negara kira-kira 17 tahun lalu.

Walaupun keputusan kurang baik dicatatkan tetapi sumbangan yang mereka curahkan dalam menyarung jersi skuad kebangsaan ketikan Piala Asia 2007 tidak wajar dipandang enteng.

Azizon Abdul Kadir

Sudah berusia 44 tahun, Azizon Kadir melakukan tugasan sambilan di akademi-akademi yang memerlukan khidmat jurulatih penjaga gol.

Dalam masa yang sama, beliau lagi beraksi dengan menyertai liga veteran domestik serta aktif bersama pasukan Ex Selangor.

Mohd Fauzie Nan

Bek kental yang mencipta nama bersama Kedah itu kini merupakan Ketua Jurulatih Negeri  (KJRN) Kedah dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Norhafiz Zamani Misbah

Mesra dengan panggilan ‘Angah’, Nurhafiz Zamani kini bertindak selaku penolong jurulatih bagi skuad bawah 15 tahun di Akademi Mokthar Dahari (AMD).

Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain

Khaironisam kini menetap di Kangar, Perlis dan menabur bakti dalam mengendalikan sebuah pasukan bawah 18 tahun di sana.

Rosdi Talib

Bekas bek kiri ini berada dalam barisan pengurusan skuad Piala MFL Terengganu yang muncul juara sulung kejohanan tersebut pada tahun lalu.

Mohamad Hardi Jaafar

Bekas pemain yang terkenal dengan ledakan dari jarak jauh ini difahamkan turut terlibat dengan kejurulatihan peringkat umur di Akademi PCA.21, Ampang.

Dalam pada itu sama seperti Azizon, Hardi juga turut dilihat sering kali bermain bersama pasukan EX Selangor

Muhammad Shukor Adan

Cukup berpengaruh di jentera tengah, Shukor kini bertindak selaku penolong jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang akan menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

Shahrulnizam Mustapa

Bersara pada penghujung musim 2016 sewaktu menyarung jersi Felcra FC, Shahrulnizam kini merupakan pembantu kepada Yusri Che Lah dalam membimbing skuad Liga Super Perak.

Mohd Fadzli Saari

Fadzli yang pernah merasai pengalaman beraksi di Jerman pada usia muda kini merupakan penolong ketua jurulatih skuad Piala Presiden Selangor 2023.

Sebelum ini beliau pernah membimbing skuad bawah 15 tahun AMD.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Penghujung musim 2023 menyaksikan Akmal Rizal dinaikkan pangkat daripada ketua jurulatih pasukan Piala MFL Penang kepada pengendali sementara skuad Liga Super.

Hairuddin Omar

Hairuddin yang terjun ke bidang kejurulatihan telah memainkan peranan penting dalam merintis kejayaan skuad kendaliannya, Terengganu II menjuarai Piala MFL 2023.

Selain itu, beliau turut terlibat dalam dunia perniagaan.

Allahyarham Mohd Suffian Ab Rahman Kungi Raman

Allahyarham meninggal dunia pada 17 Ogos 2019 selepas hampir dua minggu terlantar di hospital akibat serangan jantung.

Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Mohd Hamzani Omar

Bekas pertahanan ini merupakan individu yang paling banyak meraih kejuaraan selepas bersara apabila beliau mula menyertai barisan kejurulatihan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2013 hingga kini.

Nazrulerwan Makmor

Beliau menggalas tanggungjawab selaku penolong jurulatih Kelantan United pada musim 2023 dan kemudiannya menjadi pengendali sementara bagi menggantikan Ailton Dos Santos Silva.

K. Nanthakumar

Bekas pemain tinggi lampai ini merupakan pembantu kepada K. Devan yang membimbing skuad Liga Super Negeri Sembilan 2023.

V. Thirumurugan

Tiada informasi terkini dapat dikongsikan mengenai bekas pemain yang meraih kejuaraan ‘Double Treble’ bersama negeri kelahirannya, Kedah.

Aidil Zafuan Abd Radzak

Aidil yang memenangi 10 kejuaraan Liga Super bersama JDT menamatkan karier sebagai pemain profesional pada penghujung musim 2023.

Mulai musim depan, beliau akan menyertai barisan kejurulatihan JDT yang kembali diketuai Hector Bidoglio.

Eddy Helmi Abd Manan

Legenda yang cukup sinonim dengan pasukan Johor FC ini dikhabarkan masih aktif bermain bola sepak dan beraksi dalam saingan Liga JBFA.

Ahmad Fauzi Saari

Bekas pemain dikenali dengan panggilan ‘Paklong’ itu pada ketika ini sedang mengusahakan jenama beliau sendiri, Athelead yang memfokuskan kepada penghasilan pakaian sukan.

Mohd Nor Farhan Muhammad

Nor Farhan kini dikhabarkan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan serta sektor pembinaan. Selain itu, beliau turut memiliki akademi miliknya sendiri yang dikenali sebagai Nor Farhan Football Academy (NFFA) di Marang, Terengganu.

Mohd Ivan Yussof

Ivan yang kini berusia 42 tahun merupakan Pengarah Teknikal Kelantan United 2023. Pada musim 2021, beliau membantu Nazrulerwan membimbing kelab tersebut.

Mohd Safee Mohd Sali

Safee mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak tempatan pada 21 Februari tahun lalu.

Beliau kini merupakan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan turut terlibat dalam beberapa perniagaan.

Indra Putra Mahayuddin

Indra merupakan penjaring gol tunggal negara ketika kempen Piala Asia 2007 di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan pada minit ke-74 pada aksi menentang China.

Pada usia 43 tahun, beliau masih belum berhasrat untuk bersara dan dijangka terus kekal bersama Kelantan United bagi menghadapi musim baharu nanti.

Beliau difahamkan sudah memiliki lesen kejurulatihan B dan merancang untuk mendapatkan lesen kelayakan lebih tinggi sebagai persiapan untuk terjun ke bidang kejurulatihan sekiranya sudah mengumumkan persaraan nanti.