Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon meluahkan rasa gembira melihat aksi anak buahnya dalam mengikat Syria pada perlawanan persahabatan tertutup yang berlangsung di Doha, awal pagi tadi.

Seperti dilaporkan laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, Malaysia terikat 2-2 bertemu lawan tersebut yang menyaksikan Arif Aiman Md Hanapi meletakkan skuad negara dihadapan pada minit ke-39.

Baca Juga:

Syria yang dibimbing Hector Cuper bangkit dengan dua gol pantas dihasilkan oleh Pablo Sabbag (minit ke-70) dan Ibrahim Hesar berselang empat minit kemudian.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Paulo Josue memastikan perlawanan berkesudahan dengan terikat 2-2 hasil jaringan dihasilkannya pada minit ke-78.

Ia merupakan kali kedua berturut-turut skuad negara berjaya mengikat pasukan yang berada di ranking lebih baik itu.

September tahun lalu di Chengdu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk turut sama mengikat Syria 2-2.

Mengulas mengenai keputusan yang dicatatkan, Pan-gon nyata berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya.

“Ia satu permulaan yang baik, kami boleh bersaing menentang pasukan ranking ke-91 dunia,” ujar beliau menurut kenyataannya di video yang dikeluarkan Youtube FAM.

“Saya sangat gembira dengan persembahan pemain negara terutamanya pada separuh masa pertama. Hari ini saya memberikan minit permainan kepada semua pemain.”

“Kami melakukan banyak perubahan pada separuh masa kedua, saya rasa bukan mudah pada separuh masa kedua ramai pemain ditukar dan selepas minit ke-65, semua pemain ditukar.”

“Bukan satu perlawanan yang mudah, tetapi saya gembira kerana kami ketinggalan 1-2 dan pada saat terakhir kami mendapatkan jaringan untuk menyamakan kedudukan 2-2.”

“Juga pada lewat aksi kami mendominasi permainan  untuk bersaing dengan pasukan di ranking ke-91 dunia.”

“Saya rasa hari ini pemain kami seharusnya mendapatkan lebih banyak keyakinan sebelum aksi menentang Jordan,” tambah Kim Pan-gon lagi.