Tamat perlawanan Iran menentang Syria sebentar tadi menyaksikan senarai lapan pasukan yang mara ke suku akhir Piala Asia 2023 sudah pun terjawab.
Australia menjadi pasukan terawal yang mengesahkan tempat selepas juara edisi 2015 itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan wakil Asia Tenggara (ASEAN), Indonesia 4-0 hasil jaringan Elkan Baggot (gol sendiri), Martin Boyle, Craig Goodwin dan Harry Souttar.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Korea Selatan Hantar Arab Saudi Pulang
- Piala Asia 2023: Australia Ke Suku Akhir, Mudah Benam Cabaran Indonesia
- Piala Asia 2023: Senarai Lengkap Pasukan Ke Pusingan 16
Kemudiannya, Tajikistan terus melakar sejarah apabila mengejutkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi penentuan sepakan penalti dengan kemenangan 5-3.
Keputusan 120 minit perlawanan terikat 1-1 dimana skuad kendalian Petar Segrt itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Vahdat Hanonov tetapi UAE menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua hasil gol daripada Khalifa Al Hammadi.
Aksi Iraq bertemu Jordan jelas penuh dengan drama apabila kad kuning kedua yang diterima Aymen Hussein ketika meraikan jaringan telah mengubah segalanya.
Kelebihan 2-1 dimiliki Iraq itu berjaya dipadamkan oleh Yazan Mahmoud Al-Arab pada minit ke-95 dan kemudiannya Nizar Mahmoud Ahmed Al-Rashdan muncul wira Jordan dengan jaringan dihasilkannya berselang dua minit kemudian.
Qatar dan Uzbekistan pula menepati ramalan selepas menundukkan Palestine serta Thailand dengan keputusan 2-1.
Perlawanan yang paling mendebarkan dapat dirasai ketika pertemuan Korea Selatan menentang Arab Saudi dimana anak buah Jurgen Klinsmann bangkit pada saat akhir permainan.
Jaringan penting menerusi tandukan pada minit ke-99 oleh Cho Gue-sung memadamkan kelebihan dimiliki Arab Saudi menerusi Abdullah Hadi Radif untuk aksi berlanjutan ke masa tambahan.
Tanpa jaringan pada 30 minit tambahan, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dimana penjaga gol, Jo Hyeon-Woo muncul wira Korea Selatan dengan menafikan sepakan Sami Al-Najei dan Abdulrahman Ghareeb.
Sepakan terakhir yang disempurnakan Hwang Hee-chan akhirnya menghantar pulang Roberto Mancini dan anak buahnya pulang ke Riyadh dengan lebih awal.
Musuh ketat Korea Selatan, Jepun tidak terlalu berdepan masalah untuk mara ke suku akhir selepas juara terbanyak Piala Asia itu menang 3-1 ke atas Bahrain.
Manakala bagi aksi terakhir pusingan 16, Iran terpaksa menunggu hingga ke penentuan sepakan penalti untuk meneruskan kemaraan dengan kemenangan 5-3 selepas aksi 120 minit terikat 1-1.
Jadual perlawanan suku akhir Piala Asia 2023
Tajikistan lawan Jordan
7.30 Malam
2 Februari 2024 (Jumaat)
Al-Rayyan Stadium
Australia lawan Korea Selatan
11.30 Malam
2 Februari 2024 (Jumaat)
Al Janoub Stadium
Iran lawan Jepun
7.30 Malam
3 Februari 2024 (Sabtu)
Education City Stadium
Qatar lawan Uzbekistan
11.30 Malam
3 Februari 2024 (Sabtu)
Al-Bayt Stadium
Aksi separuh akhir mengikut urutan perlawanan (pemenang 1 lawan pemenang 2, pemenang 3 lawan pemenang 4)