Digelar ‘Darth Vader’ oleh rakan sekerja, seorang petugas derma darah di London, Lorna Rooke menerima pampasan hampir RM170,000 (£30,000) selepas memenangi kes tribunal pekerjaan akibat layanan tidak adil di tempat kerja.
Rooke mendakwa perlakuan teman sekerjanya itu membuatkan dirinya berasa seolah-olah tidak disukai selepas dibandingkan dengan watak jahat Star Wars tersebut.
Hakim Tribunal Pekerjaan, Kathryn Ramsden menurut sumber laporan Independent turut memutuskan bahawa menyamakan seseorang dengan personaliti watak jahat seperti Darth Vader merupakan satu bentuk layanan tidak adil di tempat kerja.
Menurutnya ia adalah sesuatu yang memberi kesan negatif atau mendatangkan mudarat kepada seseorang pekerja.
Keadaan yang menjurus kepada peletakan jawatan Lorna Rooke sebulan selepas insiden tersebut.
Kathryn turut mendapati bahawa Rooke bukan sahaja merasakan perbandingan itu membawa kesan negatif kepadanya, malah adalah munasabah untuk dia merasakannya begitu.
Hujah rakan sekerjanya bahawa watak Darth Vader mempunyai ciri-ciri positif turut diketepikan oleh tribunal.
“Darth Vader ialah watak penjahat legenda dalam siri Star Wars, dan disamakan dengan personalitinya adalah satu penghinaan.”
Bagaimana Isu Darth Vader Bermula?
Pada Ogos 2021, kumpulan sekerja Rooke telah menjalani satu aktiviti pembinaan pasukan yang melibatkan soal selidik Myers-Briggs bertemakan Star Wars.
Petunjuk Jenis Personaliti Myers-Briggs (Myers-Briggs Type Indicator) mengklasifikasikan individu kepada 16 jenis personaliti berdasarkan tahap introversi dan ekstroversi, sama ada mereka dipandu oleh pemikiran atau perasaan, serta bagaimana mereka menilai atau melihat dunia sekeliling.
Walaupun secara meluas dianggap sebagai tidak saintifik, ujian ini tetap berpengaruh dan malah digunakan oleh sesetengah syarikat dalam proses pengambilan pekerja.
Kebetulan pada hari tersebut, Rooke tidak mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut kerana perlu menjawab panggilan peribadi.
Ketika beliau kembali, rakan sekerjanya iaitu Amander Harber telah mengisi ujian itu bagi pihaknya dan mengumumkan bahawa Rooke mempunyai personaliti yang sama dengan watak jahat dalam Star Wars.
Walaupun kategori tersebut dalam ujian itu menggambarkan Darth Vader sebagai ‘individu yang sangat fokus’ dan berupaya menyatukan pasukan, Rooke tidak menerima perbandingan itu dan merasakan ia memberi kesan negatif terhadap dirinya.
Sehubungn dengan itu, beliau kemudian membawa perkara itu ke Tribunal Pekerjaan.
Tribunal menolak dakwaan Cik Rooke bahawa insiden “Darth Vader” merupakan punca utama beliau meletakkan jawatan tetapi tribunal mengiktiraf bahawa insiden tersebut tetap merupakan satu bentuk kemudaratan terhadap dirinya.
Lorna Rooke memenangi kes berkaitan kemudaratan selepas membuat pendedahan yang dilindungi (protected disclosure), tetapi gagal dalam tuntutan lain termasuk pemecatan tidak adil, diskriminasi terhadap kurang upaya, serta kegagalan majikan membuat penyesuaian yang munasabah terhadap keperluan dirinya.