Perjalanan lima hari ke Hong Kong kali ini memberikan perspektif baharu terhadap sebuah kota yang selalu digambarkan sibuk, moden dan penuh cahaya neon. Di sebalik sibuk kota metropolis, Hong Kong juga menawarkan sisi yang mesra, tenang dan inklusif, terutama untuk pelancong Muslim.
Perjalanan anjuran Hong Kong Tourism Board ini memperlihatkan bagaimana bandar raya ini semakin mudah dinikmati, dengan kepelbagaian pengalaman yang merangkumi alam semula jadi, budaya, hiburan keluarga, dan tentunya kulinari halal yang semakin meluas.

Hari pertama dimulakan dengan penerbangan terus ke Hong Kong, disambut dengan urusan hotel tour dan wawancara media.
Malamnya, makan malam pembuka di Cuisine Cuisine, sebuah restoran mesra muslim di Mira Hong Kong, membuka selera dengan hidangan Kantonis moden.
Ia menjadi titik mula perjalanan makanan halal sepanjang lima hari ini.
Hari kedua membawa kami ke Ocean Park, di mana panda, penguin dan pelbagai tarikan memberi keseimbangan antara hiburan dan pendidikan.
Lebih menarik, terdapat ruang solat yang memperlihatkan keprihatinan mereka kepada pengunjung Muslim.
Petangnya, kami menuju ke The Peak dengan tram ikonik, sebelum menikmati pemandangan menakjubkan Hong Kong dari Sky Terrace 428.

Malam disempurnakan dengan menaiki kapal layar klasik Aqua Luna di Victoria Harbour, sebuah pengalaman yang sinematik.
Hari ketiga dimulakan dengan lawatan ke Jamia Mosque, masjid tertua di Hong Kong, serta sesi wawancara bersama Chief Imam Muhammad Arshad.
Dari situ, perjalanan diteruskan ke PMQ, pusat seni dan rekaan yang menampilkan kreativiti anak muda bandar ini.
Namun, yang paling berkesan adalah kunjungan ke Lamma Island, sebuah perkampungan nelayan yang masih mempertahankan tradisi.
Aktiviti budaya perikanan di sana diakhiri dengan makan malam seafood halal di Rainbow Restaurant yang terkenal.

Keesokan harinya, pengalaman rohani terjalin di Kowloon Mosque, salah satu masjid utama di Hong Kong.
Dari situ, perjalanan diteruskan ke Disneyland untuk meraikan ulang tahun ke-20 taman tema tersebut. Acara penuh warna dengan perarakan, pertunjukan malam dan kembang api menjadi kemuncak hari, lebih bermakna kerana Disneyland kini menyediakan pilihan makanan halal, menjadikan pengalaman lebih inklusif untuk semua.
Selain tarikan utama, pengalaman kulinari sepanjang perjalanan membuktikan betapa mudahnya kini untuk mencari makanan halal di Hong Kong.
Dari Jade Restaurant di Fullerton Ocean Park Hotel, BKK Thai Street Food di Central, hingga sajian tradisi nelayan di Lamma Island, setiap hidangan mencerminkan kepelbagaian citarasa kota ini.

Dahulu mencari makanan halal di Hong Kong mencabar, kini ia tersedia dengan pelbagai pilihan yang memberi keyakinan kepada pelancong Muslim untuk mencuba lebih banyak.
Secara keseluruhan, perjalanan lima hari ini membuktikan bahawa Hong Kong adalah sebuah destinasi yang mudah dinikmati, berbaloi dan penuh kepelbagaian.
Ia menawarkan sesuatu untuk setiap jenis pengembara – hiburan keluarga, keindahan alam, sejarah budaya, pengalaman kulinari, hingga ruang rohani.
Lebih penting, ia semakin terbuka dan mesra kepada pelawat Muslim.
Dengan semua elemen ini, Hong Kong sekali lagi meneguhkan dirinya sebagai sebuah kota yang sentiasa relevan dan penuh kejutan untuk diterokai.