Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan semangat juang luar biasa untuk meraih tempat kedua pada perlumbaan 2 RedBull MotoGP Rookies Cup 2025 yang berlangsung di Litar Le Mans, Perancis sebentar tadi.
Ia merupakan podium tempat kedua buat kali keempat berturut-turut dinikmati pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu dalam saingan ini.
Baca Juga:
- Muda Dan ‘Talented’, Peminat Sukan Permotoran Puji Hakim Danish Bergelar Juara Asia Talent Cup
- MotoGP 2025: Alex Marquez Raih Kejuaraan Sulung, Ungguli GP Sepanyol
- Macam Pelumba MotoGP, Aksi Rider GrabFood Ambil ‘Corner Baring’ Curi Tumpuan Ramai
Bermula di petak pertama, Hakim memimpin saingan pada peringkat permulaan namun malang menimpanya apabila mengalami kemalangan bersama juara Perlumbaan 1, Brian Uriarte dari Sepanyol di pusingan pertama.

Ketika Uriarte terpaksa melupakan terus saingan, Hakim Danish bernasib baik dapat meneruskan perlumbaan. Insiden tersebut menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu berada di kedudukan terakhir.
Kebangkitan Hebat Hakim Danish
Namun, kemalangan itu tidak langsung merentap semangat Hakim untuk mempamerkan kemampuan hebat dimiliki dengan mengejar satu persatu pesaingnya.
Rezeki lebih berpihak buat Hakim Danish untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua selepas pencabar terdekatnya, Carter Thompson terjatuh pada pusingan terakhir.

Perlumbaan ini dimenangi oleh pelumba dari Sepanyol, Bernat Fernandez manakala kedudukan ketiga menjadi milik pelumba Argentina, Marco Morelli.
Dengan tambahan 20 mata menyaksikan Hakim kini mendahului senarai keseluruhan dengan 80 mata, 23 mata meninggalkan Fernandez di kedudukan kedua.