Pada hari semalam Hakim Danish Ramli mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama Malaysia yang merangkul gelaran juara keseluruhan Idemitsu Asia Talent Cup bagi musim 2022 di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia.
Hakim Danish mengatasi peserta lain apabila mengumpul keseluruhan 187 mata untuk mengatasi pelumba Jepun, Shinya Ezawa yang mengutip 177 mata ketika pencabar terdekatnya sekadar meraih tempat ketiga dalam perlumbaan.
Baca Juga:
- Dulu Dikenali Sebagai ‘Pelumba Kancil Viral’, Kini Bertugas Bersama Pasukan Formula 3 Dari Australia
Lebih menarik lagi ramai peminat sukan permotoran dari pelbagai pelusuk tempat menyatakan Hakim Danish mempunyai peluang yang cerah untuk terus berkembang dalam karier sebagai seorang pelumba motosikal profesional pada masa hadapan.
Mereka turut bersependapat bahawa Hakim Danish boleh mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa sama seperti Hafizh Syahrin, pelumba Asia Tenggara pertama berlumba dalam kategori MotoGP jika diberi ruang dan peluang yang sepatutnya.
Memetik laporan Berita Harian, Hakim Danish baru berusia 15 tahun yang berasal dari Terengganu itu turut mempunyai beberapa pencapaian membanggakan lain di mana dia membolot kedua-dua gelaran juara pada perlumbaan di litar yang sama pada pusingan kedua Mac lalu.
Kemudian, Hakim Danish berjaya muncul juara di pusingan keempat di Litar Antarabangsa Chang Thailand dalam perlumbaan pertama. Dia juga meraih kejuaraan dalam perlumbaan kedua di pusingan kelima di Litar Antarabangsa Sepang.