Pelumba sedang meningkat naik negara, Hakim Danish Ramli akan menyertai dua pusingan terakhir Moto3 World Championship iaitu PortugalGP yang bertempat di Litar Algarve dari 7–9 November dan ValenciaGP di Litar Ricardo Tormo pada 14–16 November.
Danish akan berlumba bersama MT MSI Racing Team, menggantikan Ryusei Yamanaka yang kini tidak dapat beraksi kerana kecederaan.
Baca Juga:
- Hakim Danish ‘Naik Pangkat’, Bakal Bersaing Dalam Moto3 2026 Bersama MSi Racing Team

- Bukan Lagi Mr P2, Hakim Danish Ramli Muncul Juara Perlumbaan 2 Di Litar Aragon

- Hakim Danish: Tenang Buat Saya Lagi Laju


Peluang Terbaik Buat Hakim Danish
Peluang ini memberi pendedahan yang berharga serta persediaan penting buat Danish menjelang aksi musim penuh Moto3 World Championship 2026.
Bulan November akan menjadi sangat padat bagi Hakim Danish dengan baki dua pusingan FIM JuniorGP World Championship serta dua lagi perlumbaan dalam Moto3 World Championship.
Mengulas mengenai peluang keemasan yang bakal dinikmatinya, anak kelahiran Kuala Terengganu itu cukup teruja untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MSI Racing Team kerana memberi saya peluang untuk beraksi dalam dua pusingan terakhir musim GP 2025.”
“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mempelajari sebanyak mungkin dan menyesuaikan diri dengan jentera Moto3 yang sememangnya berbeza dengan jentera lain pernah saya tunggang di Rookies Cup dan JuniorGP.”
Minggu lalu di Litar Antarabangsa Sepang, Hakim Danish yang menunggang AEON Credit SIC Racing Team MSI, terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal apabila jentera KTM ditungganginya mengalami kerosakan teknikal.