Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) San Marino di tempat ke-12 walaupun terpaksa memulakan saingan dari petak ke-25.
Hakim Danish terpaksa memulakan perlumbaan di grid paling belakang selepas dikenakan penalti susulan kesalahan yang dilakukan ketika sesi Kelayakan 1 (Q1) walaupun sebelum ini menamatkan ujian masa di kedudukan ke-18.
Berdasarkan keputusan rasmi panel steward, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu didapati melakukan kesalahan ‘Slow Sectors’ melebihi 135 peratus daripada masa terbaik sesi. Ia merupakan kesalahan kali ketiga dilakukan Hakim Danish.
Hakim Danish Cemerlang Pamer Kebangkitan
Namun, penalti tersebut tidak mematahkan semangat pelumba muda negara berkenaan untuk mencipta kebangkitan dalam perlumbaan sebenar.
Hakim cemerlang dalam memperagakan aksi penuh berdisiplin apabila memintas satu demi satu pelumba di hadapannya sebelum berjaya menamatkan saingan di tempat ke-12.
Prestasi baik ditampilkan yang membolehkan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi tersebut menambah empat lagi mata untuk mengumpul mata keseluruhan sebanyak 94 mata bagi menduduki tangga kelapan. Hanya tiga mata ketinggalan dibelakang pelumba Indonesia, Veda Pratama.
Pelumbaan di Litar Misano itu menyaksikan pendahulu keseluruhan, Maximo Quiles muncul pemenang selepas meninggalkan pencabar terdekat, David Almansa di kedudukan kedua dan Brian Uriarte ketiga.