Pelumba negara, Hakim Danish Ramli meraih tempat ke-12 pada perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring yang berlangsung petang semalam.

Memulakan perlumbaan di petak ketiga, Hakim Danish kemudiannya berjaya berada di kedudukan kedua sebelum menamatkan pusingan pertama di tempat keenam.

Beliau kekal bersaing rapat bersama kelompok hadapan sehingga pusingan ketiga sebelum mula kehilangan beberapa posisi apabila berdepan cabaran dengan cengkaman tayar belakang.

Hakim Danish Dedah Masalah Di GP Jerman
Kredit Foto: ZK Racing

Meskipun  terpaksa berdepan kesukaran untuk mengawal keadaan, Hakim Danish akhirnya melintasi garisan penamat di tempat ke-12 dengan catatan masa 33 minit 19.287 saat.

Kedudukan yang membolehkan anak kelahiran Kuala Terengganu itu menambah empat lagi mata dalam senarai keseluruhan dalam saingan Moto3.

Pelajaran Berguna Buat Hakim Danish

“Secara keseluruhan, hujung minggu ini memang cukup mencabar buat saya. Dalam setiap sesi saya bergelut dengan jentera kerana mengalami masalah gegaran setiap kali memasuki selekoh.”

“Namun, pasukan tidak pernah berputus asa dan terus berusaha mencari penyelesaian pada setiap sesi. Ketika sesi kelayakan semalam, kami menggunakan tayar lembut dan ia membantu saya melakukan catatan masa terpantas.”

“Namun, berdasarkan simulasi perlumbaan pada FP2, catatan masa saya kurang kompetitif.,” ujar Hakim Danish menurut kenyataan dikeluarkannya.

“Dalam perlumbaan hari ini [semalam], saya cuba mengejar kelompok hadapan dan memberikan saingan sebaik mungkin. Malangnya, saya tidak memperoleh rasa yang baik terhadap cengkaman tayar belakang.”

Hakim Danish
Kredit Foto: Michal Cizek / AFP

“Setiap kali saya memulas pendikit, motosikal hampir mengalami high-side, menyebabkan saya tidak dapat mengikut rentak pelumba di hadapan.”

“Saya akan jadikan perlumbaan ini sebagai satu pengalaman yang sangat berharga.”

“Saya akan terus memperbaiki kelemahan, bekerja lebih keras dan terus berjuang untuk memberikan keputusan yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya. Terima kasih kepada semua, iaitu para penaja terutamanya AEON Credit, pasukan dan para penyokong di Malaysia,” tambah Hakim Danish lagi.