Pelumba negara, Hakim Danish Ramli melakar sensasi pada perlumbaan Moto3 di Litar Brno selepas muncul juara Grand Prix , Republic Czech yang berlangsung sebentar tadi.
Hakim Danish menjuarai perlumbaan dengan kelebihan 0.466 saat dihadapan Brian Uriarte, manakala Maximo Quiles mengekori di tempat ketiga, 0.629 saat di belakang pelumba negara itu.
Kejayaan hebat yang sekali gus menamatkan penantian selama 10 tahun untuk melihat pelumba negara muncul selaku juara perlumbaan.
Kali terakhir pelumba negara mengecapi kejayaan tersebut adalah dilakarkan Khairul Idham Pawi di Grand Prix Jerman pada Julai 2016.
Meskipun terpaksa bermula di petak ke-14 selepas dikenakan penalti pada sesi ujian masa, pelumba berusia 18 tahun itu mengenepikan segala rintangan mendatang untuk melakar sejarah buat dirinya.
Penunggang pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mempamerkan gaya tunggangan cukup bertenaga apabila terus menuju ke kedudukan kelapan sebaik sahaja perlumbaan bermula.
Anak kelahiran Terengganu itu terus konsisten dan aksi enam pusingan terakhir jelas cukup mendebarkan serta membuatkan adrenalin penonton melonjak apabila persaingan semakin sengit hingga ke garisan penamat.
Memasuki pusingan terakhir, Hakim Danish mengambil kesempatan berikutan ada ‘sentuhan’ melibatkan Maximo Quiles dan Brian Uriarte membolehkan beliau memintas kedua-dua pelumba terbabit untuk memimpin perlumbaan.
Walaupun Uriarte dan Quiles cuba untuk memberikan tekanan pada selekoh terakhir, ia masih belum mampu untuk menghalang Hakim Danish daripada melakar sejarah terhebat dalam kariernya.
Dengan kejayaan ini, Hakim Danish melonjak ke tangga ketujuh dalam kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 73 mata, hanya ketinggalan sembilan mata dibelakang pelumba Indonesia, Veda Pratama.