Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi luar biasa pada sesi latihan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno semalam.
Penunggang pasukan AEON Credit-MT Helmets-MS itu cemerlang dengan dua kali memecahkan rekod terpantas sepanjang zaman di Litar Brno dengan catatan masa 2:04.938 saat dan kemudiannya 2:04.754 saat.
Walaupun ia hanya pada sesi latihan, pencapaian hebat dilakarkan Hakim Danish itu cukup membanggakan peminat sukan pemotoran negara.
Malah, peminat dari Indonesia turut menghamburkan kata-kata pujian terhadap aksi mantap pelumba berusia 19 tahun itu.
Hakim Danish Dapat Pujian Peminat Indonesia
“Mantap, Denis [merujuk kepada Danish] berjaya mendapatkan tetapan motosikal yang sesuai dengannya dan nampaknya mempunyai peluang besar untuk menaiki podium juga.”
“Semoga pelumba Asia yang lain seperti Veda [Pratama] turut memperoleh prestasi motosikal yang serasi dan mampu memperbaiki catatan masanya.”
“Semoga berjaya buat semua pelumba Asia dan diharapkan mereka mampu menggugat dominasi pelumba-pelumba Eropah,” ujar peminat dari Indonesia di ruangan komen dalam hantaran dibuat di laman Facebook peribadi Hakim Danish.
“H. Danis memang mempunyai segalanya…..Pasukan, mekanik, penaja, jentera yang bagus, ditambah pula dengan mental seorang pejuang…. Semua serba lengkap dan mantap,” tambah seorang lagi.
Hakim Danish pada ketika ini berada di kedudukan ke-10 keseluruhan dalam kategori Moto3 selepas mengumpul 48 mata dimana kejayaan meraih podium tempat ketiga di Mugello, Itali adalah pencapaian terbaik buatnya.