Kejayaan Hakim Danish Ramli muncul juara Grand Prix Republik Czech di Litar Brno sememangnya mencuri perhatian ramai.
Anak kelahiran Terengganu itu menamatkan penantian 10 tahun peminat untuk mendengar lagu keramat ‘Negaraku’ berkumandang di pentas berprestij tersebut.
Namun, di sebalik detik bersejarah itu, terdapat satu momen kecil yang turut membawa makna cukup besar.
Gatell Hormati Hakim Danish
Sebaik upacara podium bermula, pengurus pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu, Jordi Gatell dilihat pantas naik ke podium dan mengalihkan botol champagne yang diletakkan di tempat Hakim sepatutnya berdiri.
Kemudiannya ketika sesi Champagne Shower bermula pula, Hakim Danish segera meninggalkan podium dan satu perkara tidak dijangka apabila Jordi turut beredar bersamanya.
Mungkin bagi sesetengah pihak, ia sekadar tindakan ringkas. Namun, ia sebenarnya menggambarkan rasa hormat dan kepekaan terhadap pegangan agama pelumba negara itu.
Tanpa perlu diminta atau dipersoalkan, Jordi yang bukan beragama Islam memahami sensitiviti tersebut dan mengambil inisiatif untuk memastikan tiada botol champagne berada di tempat Hakim berdiri di atas podium walaupun sedar ia merupakan keperluan utama buat penaja.
Malah, pengulas siaran langsung di kaca televisyen juga turut seakan-akan memaklumkan kepada penonton bahawa Hakim Danish tidak meraikan perkara tersebut kerana beliau beragama Islam dan status agama Persekutuan di Malaysia.
Dalam dunia sukan yang menghimpunkan pelbagai bangsa, budaya dan agama, momen singkat di Brno itu menjadi bukti bahawa saling menghormati tidak memerlukan persamaan kepercayaan.
Sebaliknya, ia lahir daripada kefahaman dan penghargaan terhadap prinsip yang dipegang oleh individu lain.