Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan keputusannya pada Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano petang semalam.

Namun dalam masa sama anak kelahiran Kuala Terengganu itu tetap membawa pulang sisi positif selepas berjaya bangkit daripada barisan belakang untuk kembali bersaing dalam kelompok hadapan.

Hakim Danish memulakan perlumbaan dari petak ke-25, namun pelumba muda negara itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya memperbaiki kedudukan dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 untuk mengutip empat mata.

Hakim Danish Akui Kembali Temui Keyakinan, Mula Serasi Semula Dengan Jentera
Kredit Foto: ZK Racing

Perkara Positif Dinikmati Hakim Danish

Meskipun keputusan tersebut bukan seperti yang disasarkan, Hakim Danish melihat perlumbaan di Misano sebagai perkembangan positif dalam usahanya mendapatkan semula keyakinan serta keserasian dengan jentera.

“Secara keseluruhan, saya tidak terlalu berpuas hati dengan keputusan hari ini. Namun, saya tetap gembira kerana berjaya bangkit selepas bermula dari barisan belakang dan kembali ke kelompok hadapan.”

“Saya cuba mengejar pelumba di hadapan dan memberikan tekanan sejak awal perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Saya tidak berputus asa dan terus memberikan segala-galanya sepanjang perlumbaan.”

“Saya rasa perlumbaan ini banyak membantu saya mendapatkan semula keyakinan dan keserasian dengan jentera. Saya kembali mendapat rasa yang lebih baik ketika menunggang dan mampu menekan dengan lebih kuat.”

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

“Pada masa sama, saya belajar banyak perkara daripada perlumbaan ini, terutama dari segi cara menguruskan perlumbaan dan membuat keputusan ketika berada dalam kelompok pelumba.”

“Untuk perlumbaan di Grand Prix Austria nanti, saya mahu memperbaiki kelemahan yang saya lakukan pada minggu ini.”

“Saya akan cuba membuat persediaan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik di Austria. Saya mahu terus membina momentum ini dan melakukan satu lagi kebangkitan yang lebih baik,” ujar Hakim Danish lagi.