Teka-teki mengenai masa depan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli akhirnya terjawab selepas secara rasminya akan ‘naik pangkat’ beraksi sebagai pelumba tetap dalam Kejuaraan Motosikal Dunia kelas Moto3 musim 2026 bersama pasukan terkemuka, MSi Racing Team.
Pengumuman bersejarah tersebut dibuat susulan prestasi cemerlang dan persembahan konsisten yang dipamerkan pelumba berusia 18 tahun itu sepanjang musim 2025 terutama dua perlumbaan terkemuka di Eropah iaitu di Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) dan Red Bull MotoGP Rookies Cup.
Baca Juga:
- Misi Berganda Hakim Danish & Qabil Irfan Di Eropah Hujung Minggu Ini

- Bukan Lagi Mr P2, Hakim Danish Ramli Muncul Juara Perlumbaan 2 Di Litar Aragon

- Hakim Danish: Tenang Buat Saya Lagi Laju

Hasilnya, pelumba kelahiran Terengganu itu bukan sahaja berjaya meraih podium dalam saingan JrGP tetapi juga mencipta sejarah dengan menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup.
Tumpuan dan kerja keras persiapan Hakim Danish sebagai pelumba wildcard di PETRONAS Grand Prix of Malaysia turut meyakinkan sepenuhnya pihak pengurusan pasukan pasukan No.2 dunia itu untuk mengikat kontrak bersama pelumba negara.
Menjelang tahun depan, Hakim Danish akan bergandingan bersama pelumba dari Jepun, Ryusei Yamanaka selepas Angel Piqueras terlebih dahulu dinaikkan pangkat beralih ke Kejuaraan Dunia Moto2 pada musim 2026.
Sebagai rekod, perjalanan Hakim Danish ke pentas dunia merupakan hasil dedikasi dan bakat yang luar biasa, bermula dengan kejayaannya menjuarai gelaran Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) pada 2022.

Beliau juga telah pun menjadi sebahagian daripada keluarga MSi dalam saingan JrGP musim ini, di mana perkembangannya sentiasa dipantau rapi pasukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), ZK Racing dan tidak terkecuali oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengeluarkan sokongan kepada pelumba muda ini ke pentas Eropah.
Pencapaian Hebat Hakim Danish
“Sudah tentu, berita ini membuatkan saya sangat gembira dan memberikan saya motivasi serta semangat tambahan untuk berusaha lebih keras pada hujung minggu ini.”
“Saya sangat teruja untuk menyertai Moto3 pada tahun 2026 bersama pasukan MT MSI ia benar-benar merupakan impian yang menjadi kenyataan.”
“Saya tidak sabar menantikan tahun hadapan dan akan memberikan 100% usaha saya.”
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan MT MSI Racing, Jordi, Oscar, penaja saya KBS, SIC, ZK Racing dan Terengganu Inc, serta semua peminat yang sentiasa percaya dan menyokong perjalanan saya.”
“Saya tidak akan mampu sampai ke tahap ini tanpa anda semua,” ujar Hakim Danish.