Pelumba negara, Hakim Danish Ramli terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan kutipan mata pada Grand Prix (GP) Britain selepas terjatuh ketika perlumbaan Moto3 di Litar Silverstone pada Ahad lalu.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu memulakan perlumbaan dari petak kesembilan sebelum turun ke kedudukan ke-12 pada pusingan pertama.

Bagaimanapun, Hakim Danish berjaya meningkatkan rentaknya dan bangkit untuk memintas beberapa pelumba sebelum naik ke kedudukan kelapan serta kembali bersaing dalam kelompok hadapan.

Namun, ketika perlumbaan memasuki pusingan kelima, pelumba kelahiran Terengganu itu terbabit dalam insiden di selekoh 16-17.

Pelumba Ireland, Casey O’Gorman (SIC58 Squadra Corse) yang menunggang jentera Honda, terlibat dalam insiden dengan pelumba Sepanyol, Adrian Cruces (CIP Green Power) sehingga menyebabkan Cruces terjatuh. Hakim Danish yang berada berhampiran kemudian terpaksa mengelak untuk mengelakkan pelanggaran.

Bagaimanapun, usaha Hakim untuk mengelak insiden tersebut menyebabkan motosikalnya terkeluar daripada laluan perlumbaan sebelum turut terjatuh di selekoh 17. Susulan insiden berkenaan, O’Gorman kemudiannya dikenakan Long Lap Penalty kerana menyebabkan kemalangan tersebut.

Gagal Di Silverstone, Hakim Danish Tekad Bangkit Hadapi GP Aragon
Kredit Foto: ZK Racing

Hakim Danish Tekad Bangkit Di Aragon

“Alhamdulillah, selepas kemalangan tadi saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Dalam perlumbaan, saya berasa sangat baik dengan jentera dan cukup yakin untuk bersaing dalam kelompok hadapan.”

“Tetapi malangnya saya terjatuh kerana cuba mengelak pelumba lain yang terjatuh. Apa-apa pun, ada perkara positif yang boleh saya ambil daripada hujung minggu ini.”

“Banyak perkara yang saya pelajari dan saya tidak sabar untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Aragon.”

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik dan meneruskan latihan untuk kembali lebih kuat pada perlumbaan seterusnya.”

Kegagalan menamatkan perlumbaan di Silverstone menyaksikan Hakim Danish tidak menambah sebarang mata dan kekal di tangga kelapan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 86 mata.

Dalam kejuaraan Rookie of the Year 2026, Hakim Danish turut kekal di tempat ketiga dengan 86 mata, di belakang Brian Uriarte yang mengumpul 127 mata dan Veda Pratama dengan 97 mata.