Aksi cemerlang sepanjang pertengahan musim ini membolehkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus mewarnai Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 bagi musim 2027 selepas sah kekal bersama MSi Racing Team.
Keputusan itu sekali gus membuktikan keyakinan penuh pasukan dari Sepanyol itu terhadap potensi dan perkembangan Hakim Danish sebagai prospek muda terbaik untuk terus berkembang di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia MotoGP.
Bagi musim depan, Hakim Danish akan memulakan perjalanan baharu apabila akan bergandingan dengan rakan sepasukan baharu, Valentín Perrone dari Argentina.
Ketika ini, anak kelahiran Kuala Terengganu itu bergandingan bersama pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka.

Hakim Danish Kekal Bersama MSI Racing Team
Perkembangan terkini itu membuktikan komitmen jangka panjang MSi Racing Team dalam membangunkan bakat muda bertaraf dunia, selain keyakinan mereka terhadap kemampuan pelumba berusia 19 tahun itu untuk terus mencabar saingan Moto3.
Sejak 2023, ZK Racing telah menjalinkan kerjasama strategik bersama MSi Racing Team menerusi program berprestij FIM JuniorGP sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang untuk membangunkan pelumba muda berbakat dari Malaysia di pentas antarabangsa dan juga pelumba di Kejuaraan Dunia Moto3 iaitu Syarifuddin Azman di Moto3.
Kerjasama itu menyediakan laluan pembangunan yang sistematik kepada pelumba negara untuk berkembang daripada FIM JuniorGP ke Kejuaraan Dunia Moto3, Moto2 dan seterusnya mengembangkan karier ke pentas utama MotoGP.
Sebagai rekod, MSi Racing Team merupakan pasukan yang pernah muncul juara dunia serta mempunyai rekod cemerlang dalam melahirkan bakat muda yang berjaya menempatkan diri dan meraih kejayaan dalam kelas Moto3 serta Moto2.
Kepakaran teknikal, struktur pengurusan yang profesional dan komitmen tinggi terhadap pembangunan pelumba menjadikan pasukan itu antara yang terbaik untuk pembangunan Hakim Danish.

Sepanjang musim 2026, Hakim Danish terus mencipta sejarah apabila meraih podium pertamanya di Grand Prix Itali di Mugello sebelum menghadiahkan kemenangan sulung Malaysia dalam kelas Moto3 selepas penantian sedekad menerusi aksi cemerlang pada Grand Prix Republik Czech di Brno.
“Saya benar-benar gembira dan bersyukur kerana dapat meneruskan bersama MSi Racing Team untuk musim 2027,” ujar Hakim Danish.
“Kami telah membina hubungan yang sangat baik sepanjang musim ini dan pasukan sentiasa memberikan sokongan kepada saya, sama ada di dalam mahupun di luar litar.”
“Saya tidak sabar untuk terus bekerja keras bersama pasukan dan memburu keputusan yang lebih baik pada musim depan.”