Tempoh tiga minggu berada di tanah air sepanjang cuti musim panas dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terutamanya bagi membuat persiapan menghadapi Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone hujung minggu ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menggunakan tempoh rehat selepas GP Jerman untuk memperkemaskan aspek fizikal, mental dan teknikal menerusi latihan bersama jurulatih, selain membuat analisis terhadap perlumbaan-perlumbaan sebelum ini sebagai persediaan menghadapi baki saingan musim 2026.

Di sebalik jadual latihan yang padat, Hakim Danish turut meluangkan masa menghadiri beberapa program bersama penaja serta bertemu penyokong di Malaysia sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan yang diterimanya sepanjang musim ini.

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

Kehadiran penaja bukan sahaja membuktikan keyakinan mereka terhadap potensi pelumba kelahiran Terengganu itu, malah menjadi pembakar semangat buat Hakim Danish untuk terus memberikan aksi terbaik di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3.

Kini, fokus sepenuhnya terarah kepada GP Britain yang bakal menjadi pengalaman baharu buat pelumba berusia 19 tahun itu apabila turun berlumba buat kali pertama di Litar Silverstone.

GP Britain kali ini turut menjanjikan cabaran berbeza apabila Hakim Danish bakal mengharungi Litar Silverstone dengan menempuh 18 selekoh, terdiri daripada 10 selekoh kanan dan lapan selekoh kiri.

Litar yang terkenal dengan laluan berkelajuan tinggi serta selekoh teknikal itu dijangka menguji keupayaan setiap pelumba dari aspek keberanian, ketepatan dan konsistensi sepanjang perlumbaan, selain faktor cuaca di Britain yang sering berubah-ubah.

Pengalaman Baharu Buat Hakim Danish

“Persiapan saya untuk perlumbaan di Silverstone berjalan dengan lancar. Sudah tentu saya teruja untuk kembali berlumba selepas tamat cuti musim panas.”

“Sepanjang berada di Malaysia, saya menggunakan masa yang ada untuk menjalani latihan dan mengkaji semula perlumbaan-perlumbaan sebelum ini bersama jurulatih saya supaya lebih bersedia menghadapi baki saingan musim ini.

“Untuk Grand Prix British, saya memang tidak sabar kerana ini merupakan kali pertama saya akan berlumba di Litar Silverstone.”

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

“Saya tahu ia bukan litar yang mudah, jadi saya perlu cepat belajar dan menyesuaikan diri dengan keadaan litar sebaik mungkin. Saya akan memberikan yang terbaik untuk meraih keputusan yang positif.”

Ketika ini, Hakim Danish berada di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan mengumpul 86 mata selepas 11 pusingan hasil kemenangan bersejarah di Grand Prix Republik Czech serta podium tempat ketiga di Grand Prix Itali.

Dalam carta Rookie of the Year, pelumba negara itu kekal berada di kedudukan ketiga dengan 86 mata, hanya empat mata di belakang pencabar terdekat dari Indonesia, Veda Pratama yang mengumpul 90 mata, manakala pendahulu dari Sepanyol, Brian Uriarte, kini mengumpul 127 mata.