Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan momentum cemerlang yang dipamerkannya di Grand Prix (GP) Itali pada Ahad lalu apabila bersedia menghadapi cabaran baharu di GP Hungary yang berlangsung di Litar Balaton Park dari 5 hingga 7 Jun ini.

Hakim Danish hadir ke Hungary dengan suntikan keyakinan tinggi selepas melakar sejarah peribadi dengan meraih podium sulung tempat ketiga pada Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 di Mugello pada Ahad lalu.

Kejayaan manis yang sekali gus menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk menyaksikan bendera Malaysia kembali di pentas podium dalam saingan Moto3.

Kejayaan di Itali bukan sahaja menghadiahkan keputusan terbaik dalam kariernya di pentas dunia, malah memberikan pengalaman berharga buat pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu untuk bersaing secara konsisten dalam kelompok hadapan.

Hakim Danish
Kredit Foto: Andreas SOLARO / AFP

Hakim Danish Mahu Teruskan Kecemerlangan

“Sudah tentu selepas berakhirnya perlumbaan di Mugello, Itali saya kini lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk menghadapi saingan di Hungary minggu ini.”

“Banyak pengajaran yang saya peroleh di Itali, terutamanya dalam aspek menguruskan perlumbaan dengan lebih matang selain kekal tenang di atas litar. Saya mendapat banyak pengalaman berharga apabila bersaing dalam kelompok hadapan.”

“Ini merupakan kali kedua saya berada dalam kelompok itu di Mugello. Saya banyak belajar cara untuk mengendalikan jentera pada lima pusingan terakhir serta bersaing dengan pelumba-pelumba bertaraf dunia yang sangat pantas.”

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

“Ia benar-benar satu pengalaman yang sangat bermakna bagi saya,” ujar Hakim Danish lagi.

“Mengenai Litar Balaton Park pula, ia merupakan litar yang baharu buat saya. Justeru, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan litar tersebut secepat mungkin.”

“Matlamat saya adalah untuk tampil kompetitif sejak awal lagi, bermula daripada sesi latihan bebas pertama (FP1) sehinggalah hari perlumbaan pada Ahad nanti.”

“Persiapan saya untuk perlumbaan minggu ini berjalan lancar. Saya sentiasa memastikan rutin latihan diteruskan dengan konsisten.”

“Sebaik tamat perlumbaan lalu, saya terus kembali ke kediaman di Sepanyol untuk mengkaji semula rakaman video perlumbaan serta melakukan analisis demi memperbaiki tunggangan saya.”

Hasil pencapaian membanggakan tersebut, Hakim Danish kini melonjak ke tangga ke-11 keseluruhan kejuaraan dunia Moto3 dengan mengumpul 43 mata selepas tujuh pusingan perlumbaan.

Hakim Danish juga sudah meraih empat penamat dalam kelompok 10 terbaik musim ini bagi mengukuhkan reputasinya sebagai antara muka baharu paling menyerlah dalam saingan Moto3.